Ulasan Antologi Cerpen. Tajuk: Jendela. Pengarang: Che Soo Ismail. Terbitan: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002 (Review of Anthology. Title: Jendela. Author: Che Soo Ismail. Publisher: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002) PDF

Title Ulasan Antologi Cerpen. Tajuk: Jendela. Pengarang: Che Soo Ismail. Terbitan: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002 (Review of Anthology. Title: Jendela. Author: Che Soo Ismail. Publisher: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002)
Author A. Abdul Hamid
Pages 5
File Size 106.8 KB
File Type PDF
Total Downloads 70
Total Views 822

Summary

Science & Arts Intellectual Series, Vol 2, No. 1, 2011 Ulasan Antologi Cerpen TAJUK: JENDELA PENGARANG: CHE SOO ISMAIL TERBITAN: KUALA LUMPUR: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, 2002. AHMAD FAUZI ABDUL HAMID Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia [email protected] PENGENALAN Anda mun...


Description

Science & Arts Intellectual Series, Vol 2, No. 1, 2011

Ulasan Antologi Cerpen TAJUK: JENDELA PENGARANG: CHE SOO ISMAIL TERBITAN: KUALA LUMPUR: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, 2002.

AHMAD FAUZI ABDUL HAMID Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia [email protected]

PENGENALAN Anda mungkin bertanya: mengapa seorang yang berlatarbelakangkan pengkhususan akademik sains sosial memilih di sini untuk membicarakan sebuah karya sastera Melayu moden? Jika anda hairankan perkara ini, anda mungkin telah menjadi mangsa sekularisasi ilmu yang membelenggu negara-negara bekas tanah jajahan, hinggakan para cendekiawannya tidak dapat menyelami ertikata sebenar konsep pendidikan bersepadu yang dilaung-laungkan. Kita mungkin merdeka di sudut fizikal, tetapi minda kita masih terjajah. Kita sengaja membina sempadan antara bidang-bidang, sehinggakan membicarakan sesuatu di luar bidang disiplin rasmi kita dianggap sesuatu yang luar biasa dan tidak wajar dilakukan. Sebahagian kita membataskan pembicaraan karya ilmiah kepada hanya mereka yang ada kelulusan rasmi sesuatu disiplin dari universiti-universiti rasmi sahaja. Sikap di atas amatlah merugikan dan tidak menggambarkan sebuah bangsa yang berjiwa besar. Dalam zaman kemunduran Barat, sebelum proses Renaissance di Eropah, ilmu, yang ketika itu banyak didasari oleh disiplin yang kita hari ini akan mengenalinya sebagai merangkumi bidang agama dan falsafah, dijadikan harta eksklusif pendita-pendita dan tokoh-tokoh yang mempunyai hubungan dengan institusi gereja. Hanya setelah monopoli institusi gereja dihapuskan, barulah proses keilmuan berkembang hingga menjadikan negara-negara Barat sebagai empayar dan kuasa ekonomi. Dalam sejarah Islam, melalui dinamisme yang ditunjukkan oleh gerakangerakan sufi yang bertanggungjawab terhadap penyebaran awal Islam ke seluruh dunia, penyebaran ilmu agama sampai ke tangan massa. Apabila pengaruh gerakan sufi berkurang, yang berlaku selari dengan proses penjajahan, ilmu agama dijadikan harta intelek ulama rasmi yang posisi mereka diinstitusikan oleh pemerintah melalui keanggotaan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu. Akibatnya, dinamisme pengamal Islam pada peringkat massa berkurang. Sejarah membuktikan betapa pencetus-pencetus tajdid (pembaharuan) dalam sesebuah bidang datangnya dari bidang yang berlainan dari bidang asasnya. Yang merevolusikan bidang ekonomi di Barat selepas Perang Dunia Kedua, John Maynard Keynes, dilatih dalam bidang matematik. Thomas Edison, pencipta mentol, tidak masuk universiti pun. Pelopor falsafah liberalisme British, John Stuart Mill, dididik langsung oleh ayahnya. Di dunia Timur, kelulusan tokoh-tokoh seperti Hassan al-Banna di Mesir, Maududi di Pakistan dan Hamka di Indonesia tidak sehebat intelek-intelek sezaman mereka. Jadi bukanlah mustahil, sama ada melalui hasil usahanya sendiri atau ilham, seseorang mencipta nama dalam bidang yang bukan disiplin terasnya. Malah, oleh sebab beliau tidak terikat dengan dogma yang telah mendominasi sesuatu bidang ilmu, kadang-kadang lebih mudah baginya menghasilkan teori-teori baru dan pemikiran yang memecah permasalahan melalui anjakan paradigma yang tidak diduga. Di Barat, terutama dalam sistem pendidikan universiti-universiti ulung yang mementingkan nilai ilmiah daripada komersil, kombinasi pelajaran pilihan begitu luas hingga mungkin pelik kita mendengarnya.

21

Science & Arts Intellectual Series, Vol 2, No. 1, 2011

Antara program ijazah campuran di Universiti Oxford, United Kingdom, misalnya, ialah Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE), Falsafah, Fisiologi dan Psikologi (PPP), Fizik dan Falsafah, Sejarah Moden dan Ekonomi, dan Ekonomi, Kejuruteraan dan Pengurusan (EEM). Pendidikan yang luas menjurus kepada jiwa yang besar, sebab itulah bangsa Inggeris mampu menjadi empayar suatu masa dahulu. Bukan menjadi perkara asing lagi bagi graduan Oxford dalam bidang Sejarah, Bahasa atau Ilmu Klasikal muncul sebagai ahli korporat, akauntan atau pentadbir yang berjaya. ANALISA KE ATAS ANTOLOGI CERPEN JENDELA KARYA CHE SOO ISMAIL Dalam karyanya Jendela, Che Soo Ismail jelas memilih situasi masyarakat Melayu kontemporari sebagai situasi dasar karyanya. Oleh sebab masyarakat Melayu semasa tidak lari dari gejalagajala sosial akibat proses-proses pembangunan dan urbanisasi, ia menjadi persoalan pokok untuk beberapa cerpen yang disajikan dalam antologi ini. Gejala-gejala utama yang dipaparkan ialah hubungan ibu bapa dengan anak-anak yang tidak sefahaman, pergolakan rumah tangga, hasad dengki antara pesaing, kesan perzinaan kepada kehidupan berkeluarga, dan cabaran meneruskan hidup selepas ditimpa malapetaka atau ujian. Semua ini merupakan isu-isu relevan kepada masyarakat Melayu, tetapi cara pengarang menanganinya bercampur-baur dan berdolakdalik antara menerima dan menolak. Pendekatan pengarang yang adakalanya bercorak bebasnilai menjejaskan mesej tegas yang perlu disampaikan kepada pembaca, yang mungkin sebahagian besarnya terdiri dari muda-mudi, tentang negatifnya sesetengah perlakuan. Mesej ini tidak semestinya disampaikan dalam bentuk menghukum atau mencerca, tambahan pula sesetengah perlakuan ini mungkin telah wujud dalam keluarga pembaca, tetapi boleh disampaikan dalam bentuk menekankan akibat-akibat buruk dari perlakuan-perlakuan sumbang dan tidak bermoral dalam kehidupan manusia. Pengarang perlu sedar tugasnya bukan sahaja menceritakan perihal masyarakat yang telah rosak, tetapi mendidik pembaca akan kesan-kesan penyakit masyarakat. Ini bukannya menidakkan berlakunya kerosakan tersebut. Mungkin lebih baik pengarang, yang diberikan kelebihan penguasaan bahasa yang baik dan mudah difahami, mengambil satu pendirian lebih tegas dalam soal menjelaskan penyakit masyarakat. Contohnya, cerpen ‘Antara Cinta’ (ms. 134-146) menceritakan sebuah perkahwinan tanpa cinta, yang walau bagaimanapun, berhasil dari segi kerukunan rumah tangga dan zuriat yang baik dan sama-sama dikasihi oleh ibu bapanya. Namun, sepanjang perkahwinan ini, suami dan isteri masing-masing sekadar menghormati antara satu sama lain sedangkan mereka menaruh cinta terhadap kekasih asal mereka, dalam keadaan saling mengetahui akan konflik perasaan ini. Hati suami terisi dengan kecintaan mendalam pada isteri pertamanya yang meninggal dunia, sedangkan isterinya tenggelam dalam lamunan kenangan bersama kekasihnya yang beliau dapati kemudian telah beristeri. Gaya bahasa pengarang yang mempunyai kekuatan tersendiri tidak menolak gelojak perasaan ini sebagai sesuatu yang tidak sah dan tidak berpijak di alam nyata, malah memaparkan simpati pada nasib si isteri sebagai seorang yang baik tetapi tidak boleh berkongsi kasih, sedangkan ini sesuatu yang dibenarkan agama. Pada akhirnya si isteri sanggup memberi pengakuan di hadapan anaknya dan bekas kekasihnya, “Dialah lelaki yang bertakhta di hatiku, sehingga tiada tempat untuk bapakmu.” Saya tidak faham nilai-nilai yang ingin dipromosikan oleh pengarang dengan mengesahkan suatu perasaan yang tidak bertunjang atas dasar syariat dan tidak realistik. Cerpen ‘Virus’ (ms. 182-195), dengan memaparkan beberapa generasi berturut-turut terlibat dalam gejala zina dan pergaulan bebas, merupakan gambaran tentang dahsyatnya akhlak orang Melayu dewasa ini. Sungguhpun jalan ceritanya diakhiri dengan baik, menekankan hukuman dalam kubur kepada isteri yang curang, beberapa watak-watak kurang sesuai diberi penampilan yang positif. Suami yang membiarkan isterinya berbuat sesuka hati tanpa memarahinya walaupun ditimpa penghinaan, bukanlah suami yang baik tetapi lelaki yang dayus. Seorang 22

Science & Arts Intellectual Series, Vol 2, No. 1, 2011

emak tidak boleh mengharapkan anaknya baik semata-mata dengan memberitahunya untuk sembahyang dan menyalahkannya pula kerana gagal mengikuti arus dakwah sezaman, sedangkan si emak ini sendiri dulu merupakan penzina. Pembaca akan lebih bersimpati dengan si emak ini jika perlakuan taubatnya dipaparkan, tetapi yang ada hanyalah sikap menyalahkan orang lain dan bertanya-tanya sejauh mana dosanya mempunyai saham dalam menerbitkan gejala yang menimpa keluarganya. Dua cerpen terakhir memaparkan konflik nilai antara kemodenan dengan Islam. Sungguhpun begitu, nilai Islam hanya berbentuk ritual. Simpati pembaca dihalakan kepada watak-watak yang meminggirkan nilai Islam. Dalam ‘Paku Serpih’ (ms. 254-268), Adam digambarkan berada di pihak yang dizalimi, dengan menyalahkan datuknya yang memisahkan ayahnya dan ibunya sesudah kelahirannya dan saudara kembarnya, Linda. Hatta perbuatan ayahnya, Fredo, yang membunuh diri pun dikaitkan dengan ketidakadilan yang diterimanya di tangan ayah mertuanya. Ibunya, Najwina, menjadi pendiam lantaran dipisahkan dengan suaminya yang membunuh diri kerana kecewa, sedangkan sejarah hidup Najwina sendiri bukanlah seorang wanita yang baik, sebagaimana diceritakan tentang gelagatnya membawa lelaki tidur di rumah apabila ketiadaan ibu bapanya, dan drama perkahwinannya dengan Fredo. Adam pula bukan seorang yang serius dengan nilai-nilai keagamaan, sebagaimana dibuktikan dengan tindakannya meremehkan cadangan Linda untuk memeluk Islam biarpun semata-mata untuk mengahwininya, dan lebih dahsyat lagi, perlakuan liciknya sengaja menjerumuskan Linda dalam percintaan berbentuk sumbang mahram. Pendek kata, semua pihak yang digambarkan menjadi mangsa dalam cerpen ini telah berbuat dosa yang lebih besar daripada si pemangsa, yakni ayah Najwina yang juga datuk Linda dan Adam. Cerpen ‘Di Bawah Nama Seorang Perempuan’ (ms. 269-282) pula menampilkan Ibu Puspa, penulis terkenal Indonesia, sebagai mangsa permainan cinta Hamid, ayah kepada Nurmanja, penulis yang sedang meningkat naik di Malaysia. Hamid memanglah bersalah kerana meninggalkan Maria, nama asal Ibu Puspa, dalam kelemahan jiwanya menghadapi badai poligami yang timbul dari sikap tidak berterus-terang kepada kedua-dua isterinya. Tetapi kesalahan ini tidaklah seberat kes Ibu Puspa, yang masuk Islam semata-mata untuk berkahwin dengan Hamid, dan murtad kembali ke agama Kristian setelah Hamid meninggalkannya. Bagi Hamid pula, cintanya kepada Maria digambarkan cinta yang setia, walaupun dalam ketakutan kepada isteri pertamanya, ibu Nurmanja. Kegagalan utama Hamid, yang gagal digambarkan oleh penulis, ialah kegagalan mendidik isteri-isterinya, sehinggakan kefahaman seorang tentang poligami dan keyakinan seorang lagi terhadap agama Hamid begitu rapuh sekali. Saya mengambil pendekatan, bahawa sebagai penulis yang menjadikan Islam sebagai landasan hidupnya, mesej yang disampaikan kepada pembaca mestilah jelas dan berfaedah, meskipun disampaikan secara sindiran atau sebagai bahan satira. Nilai-nilai estetika dan artistik sematamata tidak cukup untuk menyuburkan jiwa-jiwa pembaca dengan unsur roh dan perjuangan. Oleh yang demikian, saya agak terkilan dengan beberapa lagi cerpen yang penyampaian mesejnya kabur dan tidak dapat diaplikasikan dalam kehidupan manusia. Apakah mesej, misalnya, yang ingin disampaikan penulis melalui cerpen ‘Mawar Merah’ (ms. 40-57)? Apakah contoh yang dapat dimanfaatkan kepada kehidupan manusia dengan gambaran sekuntum mawar yang bertukar-tukar kumbang dan pasangan yang ditukar ganti apabila kegunaannya dan keupayaannya tidak sampai ke tahap yang diharapkan? Ini tidak pula menafikan keenakan membaca pergolakan perasaan yang dirasai dan diluahkan oleh kumbang lama yang tidak berdaya dan kumbang pengganti yang muda dan mampu membahagiakan Mawar. Memang dalam dunia sastera terdapat karya-karya satira yang menggunakan watak-watak binatang, tetapi ia boleh ditamsilkan kepada kehidupan manusia dan menyampaikan mesej yang wajar dijadikan bahan fikiran. Dua contoh ialah Animal Farm (1945) karya George Orwell dan Watership Down (1972) karya Richard Adams. Kedua-dua novel ini bertemakan kepimpinan, malah 23

Science & Arts Intellectual Series, Vol 2, No. 1, 2011

dimasukkan ke dalam senarai bacaan awal untuk kursus Politik di Universiti Oxford. Kita patut belajar daripada semangat dan praktis merentas disiplin yang wujud di universiti-universiti terkemuka dunia. Kecelaruan minda penulis dalam hal-hal berhubung syariat Islam terserlah dalam cerpen ‘Rinda Kasihku Papa’ (ms. 27-39). Walaupun Papa bersalah besar kerana menyebabkan Donna lahir ke dunia sebagai anak zina, layanan yang diberikan oleh Donna terhadap Papa setelah Donna kononnya disedarkan oleh angin dakwah semasa menuntut di luar negeri bukanlah yang dituntut oleh agama. Lebih-lebih lagi, Papa dan Mama masih diikat oleh tali perkahwinan yang sah. Memang benar Donna tidak boleh mewarisi harta Papa menurut hukum faraid, tetapi oleh sebab ayah dan ibu biologinya menjejaki alam perkahwinan, batasan aurat dan pergaulan antara Donna dengan Papa tetap sepertimana anak gadis dengan ayah kandung sahnya. Agak malang kerana ustaz yang menyedarkan Donna digambarkan dengan negatif sebagai tegas, sedangkan dia sepatutnya lebih lunak dan berhikmah apabila berhadapan dengan Papa yang jahil. Pada hakikatnya, ustaz ini bukanlah tegas, tetapi jahil dan tidak memahami, apatah lagi melaksanakan dakwah secara berstrategi. Pemaparan penulis tentang isu-isu berhubung agama Islam menampakkannya sebagai seorang yang memahami Islam secara tradisional. Untuk lebih adil kepadanya, mungkin inilah realiti sebenar masyarakat, dan kebanyakan kita di sini. Apa yang sebenarnya berlaku dalam gerakan dakwah dan institusi yang berlabelkan Islam jarang kita selami, sungguhpun tulisan kita cuba menggambarkan mereka. Persoalan masyarakat dirujukkan kepada pemegang-pemegang jawatan institusi Islam rasmi, sedangkan masyarakat hari ini rata-rata beranggapan bahawa para ulama tradisional ini telah banyak menghampakan masyarakat. Yang mengIslamkan Ah Hua dalam cerpen ‘Perjalanan’ (ms. 15-26) ialah tuan kadi, seorang lelaki berserban. Hakikatnya, kadikadi zaman sekarang tidak banyak terlibat dalam kerja dakwah dan jarang turun ke tengah masyarakat untuk tugas susulan berbentuk tidak rasmi. Saya juga kurang senang dengan gambaran stereotaip penulis: “orangnya alim, berjubah labuh suami isteri” dalam menggambarkan penyebar ajaran sesat, dalam cerpen ‘Rumah Sewa Kami’ (ms. 163-172). Penyebar ajaran sesat ini pula dicari rumah sewa oleh Pak Ndak, yang kononnya lebih alim daripada adik-beradiknya yang lain, yakni adiknya, Pak Tam, dan kakaknya, iaitu emak kepada watak pencerita. Di sini, kealiman diberikan satu tanggapan sinis bahawa ia mungkin melibatkan kepura-puraan walaupun dibaluti oleh imej keIslaman. Walaupun ini satu kemungkinan, kesannya ialah simbol Islam yang masih sah sebagai gambaran identiti orang Islam, walaupun bukan perkara pokok, dipandang sinis oleh masyarakat. Sepanjang antologi cerpen ini, kemungkinan poligami digambarkan membawa segala bentuk kesengsaraan, kerendahan diri (inferiority), kesanggupan untuk berpisah dengan suami dan anak dan kepastian akan berlakunya ketidak adilan. Ketidaksanggupan untuk berkongsi kasih digambarkan terlalu besar hingga sanggup meninggalkan Tuhan. Institusi kekeluargaan juga digambarkan amat rapuh, hingga perkara yang boleh dibincangkan ke arah mencari penyelesaian diselesaikan oleh penulis dengan cara memecahkan institusi keluarga. Dalam kehidupan sebenar, diharapkan aqidah dan akhlak wanita dan pemuda-pemudi Melayu tidak serapuh yang digambarkan dalam antologi cerpen ini. Walaupun tidak dinafikan, dari satu segi, penulis menceritakan apa yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat Melayu masa kini, saya rasa perimbangan perlu dibuat antara menceritakan kerosakan masyarakat semasa dengan apa yang kita dambakan sebagai memenuhi aspirasi masyarakat yang diidam-idamkan: sebuah masyarakat yang ‘aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan’ (Al-Quran, Surah Saba’: 15). Sebagai pemikir yang bertanggung jawab, sebarang permasalahan perlu ditawarkan jalan penyelesaian yang mendidik pembaca. Lebih merbahaya lagi sekiranya kita tidak begitu berpengetahuan tentang elemen-elemen masyarakat yang kita cuba sentuh, lalu terjadilah stereotaip yang menyimpang dari kebenaran. Banyak elemen benar yang terjadi dalam 24

Science & Arts Intellectual Series, Vol 2, No. 1, 2011

masyarakat boleh kita sentuh tetapi tidak kita ulas kerana ia tidak bersesuaian dengan kecenderungan kita. Misalnya, berapa ramaikah penulis yang menampilkan perkahwinan berbentuk poligami sebagai sesuatu yang positif, walhal ini menjadi tradisi orang soleh dan semakin luas diterima di kalangan masyarakat Melayu masa kini? Kritikan di atas bukanlah bermaksud antologi cerpen ‘Jendela’ tidak mempunyai sebarang aspek positif. Cerpen-cerpen terbaik, pada hemat saya, ialah ‘Antara Pintu’ (ms. 58-69), ‘Orang-orang Berwajah’ (ms. 70-87) dan ‘Jika di Langit Ada Bintang’ (ms. 107-117). Tema-tema yang dimainkan iaitu sikap gigih berusaha dalam mengharungi cabaran hidup, penyesalan si mati yang banyak melakukan penganiayaan sepanjang kehidupannya dan bukti kebenaran di tangan pihak yang dizalimi, sangat berkesan apabila digabungkan dengan kekuatan bahasa penulis, yang memang sangat terserlah sepanjang antologi ini. Malah, babak paling bermakna kepada saya ialah di akhir cerpen ‘Jika di Langit Ada Bintang’, ketika Mahsuri melawat balik Langkawi moden, ala-kisah Ashabul Kahfi sebagaimana diceritakan dalam Al-Quran, dan melihat begitu banyak maksiat yang memungkinkan pelaku-pelakunya dihukum sebagaimana beliau, sekaligus menggambarkan konflik nilai yang mendalam antara masyarakat Melayu tradisional dengan kemodenan, hingga Mahsuri sendiri bersyukur tidak hidup di zaman ini. KESIMPULAN Sebagai penulis, kita mempunyai tanggung jawab yang besar terhadap masyarakat. Di sebalik hiburan dan kelapangan fikiran yang diperoleh oleh pembaca, perlu ada mesej teras yang hendak disampaikan oleh penulis. Penggunaan bahasa yang meyakinkan boleh menjadi aset, tetapi apabila gayanya keterlaluan, ia boleh menjadi liabiliti kerana mengaburi mesej utama karya. Dalam genre novel dan cerpen, penulis mempunyai kebebasan seluas-luasnya untuk mencipta dan menggerakkan watak dan babak, dan seharusnya menggunakan peluang ini untuk mendidik masyarakat. Penulis sepatutnya mencorak masyarakat, bukan semata-mata dicorak oleh masyarakat. Dalam menyemai elemen pendidikan ini, ramai penulis mengabaikan kepentingan faktor rohaniah. Untuk membawa masyarakat ke arah kebaikan, si penulis sendiri mestilah seorang yang mengusahakan kebaikan. Malah, kekuatan rohaniah seseorang tercermin dalam tulisannya. Tok Kenali, ulama tersohor Kelantan (meninggal dunia 1933) yang dikenang kerana jasanya dalam penyusunan sistem pendidikan Islam, terkenal dengan kaedah menghasilkan cerpen untuk membawa murid-muridnya menghayati mesej utama yang dibawa dalam kuliah-kuliahnya. Sepatutnya kita juga mempunyai wawasan seperti ini, yakni karya sastera menjadi semata-mata alat untuk membaiki masyarakat, keluarga dan diri sendiri.

25...


Similar Free PDFs