Bimbingan dan Kaunseling PDF

Title Bimbingan dan Kaunseling
Author Katerina Boniface
Pages 19
File Size 125 KB
File Type PDF
Total Downloads 507
Total Views 681

Summary

HMEF5063 1.0 Pengenalan Kaunseling adalah satu proses interaksi yang melibatkan seorang kaunselor dan klien dan merupakan cabang psikologi yang membabitkan proses perhubungan atau interaksi secara profesional dengan kaunselor berdaftar mengikut etika yang dibenarkan (Akta kaunselor 1998). Tujuannya ...


Description

HMEF5063 1.0 Pengenalan Kaunseling adalah satu proses interaksi yang melibatkan seorang kaunselor dan klien dan merupakan cabang psikologi yang membabitkan proses perhubungan atau interaksi secara profesional dengan kaunselor berdaftar mengikut etika yang dibenarkan (Akta kaunselor 1998). Tujuannya adalah untuk memahami diri klien dan alam sekelilingnya bagi melahirkan satu perubahan, penyesuaian, dan perkembangan yang positif dalam diri klien terhadap sesuatu permasalahan yang dihadapi. Segala keputusan dan pilihan yang dibuat adalah daripada klien dan bukannya kaunselor. Kaunseling boleh dilaksanakan secara individu, kelompok, keluarga dan perkahwinan. Kedua-dua kaunselor dan klien akan bekerjasama memastikan proses terapi dijalankan dengan jayanya. Demi kaunseling yang berkesan, kaunselor harus mempunyai empati terhadap klien tetapi tidak meletakkan sebarang syarat atau desakan terhadap mereka. Dalam kalangan rakyat Malaysia, ramai berangapan individu yang menyertai program kaunseling terdiri daripada golongan yang berpendidikan, bijak, berpengalaman, mempunyai kerjaya yang baik dan stabil dari sudut ekonomi. Walau bagaimanapun, individu yang menyertai program kaunseling ini sering kali mempunyai tekanan dan konflik di tempat kerja, masalah-masalah kecil yang tidak dapat ditangani selain mencari jalan untuk mengembangkan potensi diri dan kerja. Kaunseling dijalankan dalam dua situasi. Pertama, membantu klien mempertimbangkan satu-satu pilihan yang berpotensi dari pelbagai sudut sebelum membuat pilihan. Kedua, membantu klien mengubah suai, mengukuh atau mengetepikan satu satu pilihan yang telah dibuat. Dari segi objektif, kaunselor akan memastikan klien „celik akal‟ dan dapat melihat masalah dari sudut yang berlainan dan berkebolehan mengatasinya dengan baik dan berkesan. Ini dapat mempertingkatkan keupayaan mengurus emosi, tingkah laku dan cara berfikir. Proses kaunseling juga membolehkan klien mengenal pasti kekurangan dan keupayaan yang ada di dalam diri sendiri serta membantu meningkatkan konsep kendiri selain pendedahan terhadap bakat, minat dan keupayaan diri agar menjadi positif dalam pembentukan amalan hidup yang membina. Bagi satu sesi kaunseling yang berjaya, kaunselor harus menjadikan klien selesa pada awal setiap sesi dengan menyatakan sebab dengan jelas sambil menekankan yang kaunselor berasa prihatin dengan keadaan yang dihadapi oleh klien serta bersedia memberikan bantuan. Jika tidak, klien akan berasa terancam dan defensif. Antara kemahiran asas kaunseling adalah membina hubungan. Dalam kemahiran ini, terdapat beberapa sub

HMEF5063 kemahiran asas seperti membina suasana alam sekeliling, suasana teraputik, ruang untuk berkomunikasi, penampilan diri, ekspresi muka, kontek mata, pergerakan tangan dan kaki, nada suara, senyuman dan cara-cara duduk dalam kaunseling. Kemahiran ini digunakan oleh kaunselor untuk membawa klien dalam menghadapi realiti dengan cara menyelaraskan mental, emosi, tingkah laku komunikasi lisan dan bukan lisan. Kedua, mendengar secara aktif. Dalam hal ini, kaunselor perlu banyak meluangkan banyak masa mendengar daripada menyampuk percakapan klien. Pemahaman yang tepat hanya akan diperolehi dengan adanya pendengaran yang baik. Ketiga ialah dorongan minima di mana kemahiran yang digunakan oleh kaunselor bagi menggalakkan klien meluahkan isi hati mereka. Tujuannya supaya klien merasakan bahawa kaunselor sedang mendengar dan menumpukan perhatian terhadap apa yang diceritakan klien contohnya dengan menganggukkan kepala, senyuman dan wajah yang tenang. Kaunselor juga menggunakan pendedahan kendiri. Dalam erti kata lain, menceritakan kisah peribadi bagi tujuan untuk difahami dan dibantu atau hanya sekadar perkongsian. Selain itu, kemahiran menyoal seperti soalan terbuka digalakkan iaitu soalan yang tidak memerlukan jawapan yang khusus manakala soalan tertutup digunakan pada situasi yang sesuai tetapi harus dielakkan supaya klien aktif dalam meluahkan perasaannya. Kemahiran konfrontasi pula merupakan kata-kata yang boleh mencabar perasaan, pandangan dan tingkah laku tanpa lisan mereka. Kemahiran ini digunakan oleh kaunselor bagi mengetahui dengan lebih mendalam ruangan dalaman klien. Seterusnya, kemahiran menyemak persepsi di mana klien dirasionalkan oleh kaunselor berkaitan dengan sesuatu perkara. Contohnya menyatakan yang tingkah laku klien tidak dapat membezakannya. Di samping itu, kemahiran parafrasa iaitu kemahiran mengulang ayat klien tanpa mengubah maknanya bagi mendapatkan kepastian dan menyatakan bahawa kaunselor faham dengan apa yang dinyatakan oleh klien. Kemahiran refleksi pula merujuk kepada refleksi perasaan iaitu respon kaunselor untuk menggambarkan emosi klien bagi menujukkan empati kaunselor. Dengan itu, klien akan merasa dirinya difahami dan serterusnya menjadi lebih terbuka dalam mepersepsikan masalahnya manakala kemahiran refleksi pula merupakan respon kaunselor untuk menggambarkan isi perbualan dengan klien yang menunjukkan kefahaman kaunselor. Tujuannya adalah untuk membuat semakan di samping memberi keyakinan kepada klien bahawa masalahnya diberi sepenuh perhatian oleh kaunselor. Kemahiran yang seterusnya ialah kemahiran meminta penjelasan di mana kemahiran yang perlu ada dalam diri kaunselor

HMEF5063 dalam menjalankan sesi. Ia merupakan kenyataan dari klien untuk memberikan kefahaman yang jelas tentang apa yang telah dibincangkan. Terakhir sekali merupakan kemahiran membuat interpretasi. Kaunselor menjelaskan makna apa yang telah dibincangkan dan apakah isu tersirat yang klien tidak nampak semasa dalam perbincangan. Ia merupakan suatu proses aktif dimana kaunselor menjelaskan makna perkara atau isu yang dibawa klien mengikut kefahaman kaunselor dari perspektif yang baru. Tujuannya adalah untuk memberi penghuraian kepada klien supaya klien dapat melihat perkara dari sudut pandangan yang berbeza. Demi keberkesanan kaunseling yang efektif, berikut merupakan proses-proses yang dilaksanakan semasa sesi kaunseling berlaku. Pertama, peringkat prasesi yang menyatakan sebab pertemuan dengan jelas agar matlamat kaunseling tercapai. Kedua, kemahiran membina perhubungan yang bertujuan memberi perangsang kepada klien agar sentiasa tenang dengan memberikan tanggapan pertama yang positif. Kaunselor mesti membina suasana sekeliling dan tingkah laku yang meyakinkan serta menunjukkan kemesraan. Ketiga, penerokaan masalah. Tugas kaunselor adalah mendapatkan maklumat yang relevan untuk memberi makna kepada masalah dan menganalisis maklumat tersebut untuk mencari punca masalah. Seterusnya, mengenal pasti masalah dan menentukan matlamat kaunseling supaya memudahkan kaunselor membantu klien menyelesaikan masalah yang dihadapi klien bagi membantu memperjelaskan semua punca masalah dan membentuk matlamat sesi. Selain itu, proses mengenal pasti masalah dan menentukan matlamat kaunseling dilakukan selepas meneroka masalah klien supaya memudahkan kaunselor membantu klien menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. Kemahiran yang lebih mencabar seperti konfrantasi dan membuat interpretasi juga memainkan peranan yang amat penting. Di samping itu, kemahiran memilih alternatif penyelesaian dan tindakan juga adalah tanggungjawab kaunselor dalam menilai kejayaan yang dipilih melalui maklum balas yang diterima oleh klien itu sendiri. Terakhir sekali adalah, proses penamatan dan susulan di mana pada peringkat ini, kaunselor perlu menggunakan peneguhan dengan tujuan meyakinkan klien dan memastikan klien benar-benar melaksanakan alternatif yang dipilih. Secara keseluruhannya, kaunselor akan membuat rumusan besar dan menyatakan semula isi penting yang diceritakan oleh klien pada awal sesi sehingga mendapat jalan penyelesaiannya.

HMEF5063 2.1 Perubahan dalam Kaunseling (Pemilihan Kerjaya) Perkhidmatan kaunseling secara professional didapati meninggalkan kesan positif terhadap perubahan jangka pendek dan jangka panjang. Ini membuktikan bahawa peranan kaunselor penting dalam usaha mengurangkan punca gejala sosial. Perkhidmatan kaunseling ini perlu dikembangkan lagi dengan pelbagai pendekatan bagi membantu pelajar yang memerlukan sokongan emosi yang berterusan dalam menghadapi cabaran. Kaunselor boleh mewujudkan satu sistem rakan sebaya yang dapat memberi sokongan dan mendengar permasalahan pelajar tersebut. Melalui sokongan ini, pelajar yang kurang bijak menangani kebebasan tidak akan merasa terasing, rasa tidak diterima atau tidak diperlukan. Sebaliknya, mempunyai ruang dan tempat untuk bercerita dan mendapat maklumat bagaimana untuk mendapat pertolongan lanjut. Salah satu perubahan yang dapat dikesan adalah melalui melalui pemilihan kerjaya pelajar. Di sekolah, Unit Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya adalah berperanan sebagai membimbing seseorang individu dalam meneroka pilihan kerjaya, membuat perancangan kerjaya, menyediakan diri untuk latihan yang sesuai dan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan kerjaya (Suradi, 2004). Unit ini adalah untuk memberi khidmat kaunseling kepada para pelajar yang memerlukan bimbingan, panduan, pertolongan pada setiap masa, membantu dan membimbing pelajar menyelesaikan masalah peribadi, emosi, pelajaran, keluarga dan aspek-aspek lain serta membimbing pelajar dalam melengkapkan diri dalam memilih kerjaya yang betul. Selain itu, unit ini juga berfungsi sebagai proses penemuan interaksi bersemuka antara kaunselor dengan pelajar yang mengakibatkan berlakunya perubahan dalam diri mereka. Kerjaya bagi seseorang individu itu adalah untuk menentukan kehidupan mereka pada masa hadapan. Pernyataan ini disokong oleh Mohd Salleh, Mahmud & Amat (2006) yang menjelaskan bahawa proses memilih dan merancang kerjaya adalah proses terpenting dalam kehidupan seseorang. Tanpa bimbingan dan panduan yang betul, pelajar mungkin akan menghadapi kebuntuan dalam pekerjaan mereka kelak kerana pemikiran mereka semasa merancang kerjaya tidak tercapai dalam pekerjaan yang diceburi. Ini disebabkan kekurangan maklumat tentang keperluan lain yang tidak dipenuhi semasa membuat pemilihan pekerjaan. Selain itu, unit ini juga membantu pelajar dalam menyesuaikan personaliti, minat, bakat, kebolehan dan keperluan diri pelajar berkaitan dengan kerjaya. Oleh itu, Unit Psikologi, Kaunseling dan Kerjaya ini perlu diubah agar semua pelajar dapat menerimanya dan

HMEF5063 menjadikan ia berkesan selain mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang kerjaya bersesuaian dengan cita-cita dan kelulusan mereka melalui unit ini. Pelajar selalu menghadapi kesukaran dalam mebuat pilihan dan keputusan tentang bentuk kerjaya mana yang perlu diceburi (Amir, 1993). Suradi (2004) telah menyatakan dua sebab utama mengapa berlaku kesukaran apabila membuat pemilihan kerjaya dalam kalangan pelajar. Pertama, pelajar bermasalah dalam mencari maklumat dan ketiadaan sumber tentang pekerjaan atau kerjaya yang boleh digunakan sebagai rujukan. Kedua, kekurangan kemahiran atau motivasi untuk mendapatkan maklumat tentang pekerjaan atau kerjaya yang akhirnya menimbulkan masalah identiti kepada seeorang pelajar itu. Seterusnya, pengaruh daripada keluarga serta rakan sebaya. Akibatnya, ramai graduan tidak serasi dengan pekerjaan yang dipilih tanpa nasihat dari golongan yang berpengalaman seperti kaunselor dari Unit Kaunseling dan Kerjaya. Dalam salah satu skop bimbingan adalah merujuk kepada bimbingan kerjaya. Bimbingan kerjaya boleh dijelaskan sebagai salah satu alat untuk menolong seseorang pelajar atau graduan untuk memlih pekerjaan yang diminati dan berseseuaian dengan kebolehan, minat dan kecenderungan berdasarkan perwatakan. Matlamatnya adalah membantu atau memberi jalan agar manusia dapat mengurus dirinya sendiri sama ada dari segi mental, perasaan, kerohanian dan tingkah laku. Selain itu, matlamat perkhidmatan ini juga adalah untuk membantu kilen bertanggungjawab ke atas dirinya, memperbaiki imej dirinya yang negatif, mengajar klien untuk menyesuaikan diri dengan keadaan, membantu klien untuk menjadi lebih produktif, membimbing klien mencari dan memupuk sumber dalaman serta mempertingkatkan

kemampuan

klien

membuat

keputusan

dan

membantu

dalam

menyelesaikan masalah yang belum selesai dalam hidup klien itu (Ahmad Ibrahim, 1992). Merancang dalam aspek kerjaya adalah penting dan perlu diketahui setiap individu ataupun pelajar yang sedang dalam proses membuat pemilihan kerjaya, persediaan kerjaya, mendapatkan kerjaya, meneroka kerjaya dan membuat penyesuaian kerjaya (Havighurt, 1987). Dengan kaedah ini, seseorang pelajar akan mendapat sedikit gambaran tentang kerjaya yang diminati dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kerjaya tersebut. Antara perubahan positif yang dapat dilihat dalam diri pelajar adalah, pertama; mendapatkan kefahaman berkaitan diri sendiri. Individu mendapatkan maklumat tentang diri sendiri yang meliputi cara dia membuat keputusan, matlamat peribadi, konsep kendiri, minat, kemahiran dan pengalaman. Kedua, mendapatkan kefahaman berkaitan kemahiran persekitaran di mana dia

HMEF5063 hidup. Individu mendapatkan maklumat berkaitan dengan persekitarannya yang meliputi kefahaman tentang organisasi dunia kerjaya, pilihan-pilihan kerjaya dan maklumat tentang kerjaya. Akhir sekali, mengintegrasikan antara maklumat diri dan maklumat berkaitan dunia pekerjaan. Individu akan menggabungkan kedua-dua maklumat yang diperoleh tentang diri sendiri dan dunia pekerjaan untuk membuat keputtusan yang tepat dan seterusnya mengambil tindakan untuk melaksanakan keputusannya. Oleh kerana pendidikan kerjaya adalah pembangunan modal insan di peringkat sekolah, maka usaha memperkasa program bimbingan kerjaya yang ada sekarang perlu menjadi satu keutamaan. 2.2 Perubahan dalam Kaunseling (Pembangunan Secara Holistik dan Menyeluruh) Perubahan seterusnya ialah pembangunan secara hoslitik dan menyeluruh. Khidmat kaunseling adalah khidmat yang diiktiraf sebagai pemangkin utama bagi menyemai pembentukan

insan seimbang secara humanistik dan adil berteraskan pendapat bahawa

bukan semua insan berpeluang mengalami proses perkembangan dengan sempurna. Implementasi khidmat kaunseling secara konsisten adalah berkaitan dengan keselamatan dan kejayaan murid . Murid yang mendapat khidmat sokongan ini merasa lebih selamat apabila berada di sekolah, mempunyai hubungan yang baik dengan guru, mempercayai bahawa sekolah dan pelajaran adalah penting dalam pencapaian akademik lebih baik dan semakin kurang menghadapi masalah personal dan interpersonal (Lapan, Gysbers & petroski, 2001). Khidmat kaunseling di sekolah perlu diberi perhatian dengan serius kerana menerusi temu bual lepas telah menyatakan bahawa khidmat kaunseling yang berkesan mempunyai perkaitan yang positif dengan perkembangan murid secara menyeluruh. Antara lain, khidmat kaunseling memberi pengaruh positif dengan perkembangan murid secara holistik. Khidmat kaunseling juga memberi pengaruh positif terhadap pencapaian akademik murid sekolah rendah (Hadley 1998; Lee 1993), membentuk murid lebih berdisiplin dan mengurangkan tingkah laku agresif (Baker & Gerler, 2001), membina kemahiran sosial positif (Verdyun, Lord & Forrest, 1990), meningkat estim kendiri murid di samping membina locus of control yang kukuh (Omizo & Omizo, 1998; Rose & Rose, 2001), membantu murid-murid yang menjadi mangsa buli di sekolah (Hanish & Guerra, 2000) serta membina jangkaan kerjaya murid pada masa akan datang (Mau, Hitchcock & Calvert, 1998). Selain itu, programprogram pencegahan yang dijalankan di sekolah dapat mengurangkan pelbagai masalah tegar murid seperti cubaan bunuh diri dan lari dari rumah (Jones, 2001). Pada keseluruhannya,

HMEF5063 khidmat kaunseling yang berkesan banyak memberikan faedah kepada perkembangan murid dan membentuk iklim sekolah yang harmoni. Golongan remaja tidak lari daripada memerlukan bimbingan kerana kebanyakan remaja pada peringkat ini berhadapan dengan krisis identiti diri. Zaman remaja merupakan proses peralihan daripada peringkat kanak-kanak ke peringkat dewasa. Remaja juga dikaitkan dengan mencari kebebasanserta menunjukkan perasaan ingin tahu yang menyeluruh terhadap diri dan juga alam di sekeliling mereka (Shertzer dan Stone, 1992). Pakar psikologi mengatakan bahawa zaman remaja adalah zaman yang penuh dengan idealisme, pemberontakan dan tekanan. Perubahan-perubahan yang dialami oleh seseorang remaja membuatkan dirinya berada dalam keadaan tidak stabil, kekeliruan dan konflik (Amla, Zuria dan Salleh, 2006). Oleh itu, pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelajar seperti pertumbuhan fizikal yang mendadak, perkembangan kognitif dan perubahan psikologi memerlukan sokongan atau dalam kata lain kaunseling yang dapat menggalakkan pertumbuhan yang sihat. Di samping itu, masalah tingkah laku dalam kalangan remaja juga memerlukan perhatian serius. Keadaaan ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab keluarga, tetapi juga pihak sekolah. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dilihat mempunyai potensi yang boleh membendung pelbagai gejala tidak sihat pelajar-pelajar sekolah dengan menyediakan bantuan perkembangan dan pemulihan (Gibson dan Mitchell, 2009). Sistem pendidikan di Malaysia berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan sangat mementingkan pembangunan modal insan. Pelbagai cara dilakukan untuk menyerap modal insan dalam sistem persekolahan terkini. Pelaksanaannya adalah melalui pelbagai program sama ada melalui kurikulum, ko-kurikulum dan juga dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Masalah yang wujud di luar persekitaran sekolah turut terlibat dalam kelas. Antaranya adalah menunjukkan tingkah laku negatif seperti tidak menumpukan perhatian kepada pelajaran, pencapaian akademik yang rendah, salah laku dan tidak berdisiplin, masalah dalam komunikasi dan sosial serta masalah keluarga. Keadaan in akan bertambah parah sekiranya pihak sekolah terutamanya guru kaunseling tidak sedar akan kewujudan masalah dalam kalangan pelajar.

Pelajar yang bermasalah seringkali dihukum kerana

keadaan disiplin mereka di sekolah dan akhirnya, mereka dipindahkan sekolah, digantung sekolah atau terus dibuang sekolah. Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan sosial dan akademik pelajar hari ini banyak dipengaruhi oleh pembangunan negara. Pelajar hari ini disediakan dengan pelbagai

HMEF5063 kemudahan yang dapat membantu mereka menjadi lebih cemerlang dalam mencapai modal insan jika dibandingkan dengan generasi terdahulu. Memiliki ilmu dan kemahiran sematamata tanpa dipupuk dengan nilai-nilai murni tidak cukup untuk membina modal insan yang berkualiti dalam kalangan pelajar. Oleh yang demikian, wajarlah pelaksanaan dalam bentuk kaunseling dijalankan bagi membantu menbangunkan pembentukan modal insan kerana golongan pelajar merupakan harapan dan pemangkin kepada pembangunan negara pada masa hadapan. Kaunseling memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan dengan memberi dan menyediakan program psikologi untuk individu membuat perubahan dengan mempertingkatkan keupayaan mengurus emosi, tingkah laku dan pemikiran. Kedua, membuat penyelesaian peribadi, sosial, emosi dan kerjaya dengan persekitaran di dalam dan di luar sekolah. Seterusnya, mendedahkan bakat, minat dan kelebihhan dalam diri yang terpendam untuk meningkatkan konsep kendiri. Keempat, berfikir secara rasional dan bertindak secara berkesan dalam membuat keputusan untuk mengatasi persoalan-persoalan yang dihadapi. Selain itu, membentuk tabiat membiasakan diri belajar dengan baik dan berkesan serta membentuk ciri-ciri akhlak yang baik untuk menjadi invidu yang berintegriti dan akhir sekali, merancang masa hadapan yang sesuai dengan kemampuan dan matlamat hidup (Biasco 1968). Apabila pelajar-pelajar mendapat maklumat yang lengkap serta memahami tujuan perkhidmatan ini dalam sebegitu bentuk sehingga pelajar-pelajar dengan sendirinya akan menawarkan diri dalam mempergunakan perkhidmatan ini. Maklumat mengenai tahap kesedaran pelajar, pemahaman fungsi dan tujuan perkhidmatan serta peranan kaunselor juga dapat menolong kaunselor mengenal pasti bahagian bahagian yang perlu diberi penekanan dan pengukuhan dalam melaksanakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Hasil temu bual lepas bersama murid-murid, didapati kaunseling yang diberikan guru mereka berjaya dalam mengubah pendirian dan sikap mereka, terutama dalam menetapkan cita-cita di masa hadapan. Mereka

mengakui...


Similar Free PDFs