Penulisan Artikel (Jenayah Kolar Putih) PDF

Title Penulisan Artikel (Jenayah Kolar Putih)
Author Charlotte Pudding
Course Bahasa Melayu Undang-Undang 1
Institution Universiti Teknologi MARA
Pages 8
File Size 259.5 KB
File Type PDF
Total Downloads 164
Total Views 401

Summary

FAKULTI UNDANG-UNDANGBACHELOR OF LAW (HONS) (LLB HONS) (LW224)KAMPUS SHAH ALAMKURSUS : BAHASA MELAYU UNDANG-UNDANG I (BMU533)KELAS : LWB04BTUGASAN INDIVIDU (PENULISAN ARTIKEL)TEMA ARTIKEL : JENAYAH KOLAR PUTIHDISEDIAKAN UNTUK :PUAN FARAH HANINI BINTI ABDUL RAHMANJenayah Kolar Putih : Jenayah Rasuah ...


Description

FAKULTI UNDANG-UNDANG BACHELOR OF LAW (HONS) (LLB HONS) (LW224) KAMPUS SHAH ALAM

KURSUS : BAHASA MELAYU UNDANG-UNDANG I (BMU533) KELAS : LWB04B

TUGASAN INDIVIDU (PENULISAN ARTIKEL) TEMA ARTIKEL : JENAYAH KOLAR PUTIH

DISEDIAKAN UNTUK : PUAN FARAH HANINI BINTI ABDUL RAHMAN

Jenayah Kolar Putih : Jenayah Rasuah Dalam Kalangan Penjawat Awam dan Ahli Politik di Malaysia Pengenalan Sejak akhir-akhir ini, jenayah kolar putih seperti rasuah menjadi satu isu sensasi yang sering dibincangkan di laman sosial media seperti ‘Facebook’ dan ‘Twitter’. Pada waktu dahulu, konteks jenayah kolar putih ini tidak begitu menonjol dan popular kerana kerajaan Malaysia lebih menumpukan perhatian kepada jenayah konvensional seperti kes pembunuhan, rogol, rompakan, kes curi dan sebagainya. Namun, sejak Malaysia diperkenalkan dengan teknologi baharu dan melalui arus pemodenan, rakyat Malaysia telah mula membuka mata dan membincangkan tentang isu jenayah kolar putih. Isu jenayah kolar putih ini juga telah menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan rakyat Malaysia. Penulisan artikel ini akan menerangkan dengan lebih mendalam tentang konteks jenayah kolar putih secara umum, jenayah rasuah yang dilakukan oleh golongan kolar putih, faktor-faktor rasuah berlaku dan kesan rasuah terhadap negara. Di samping itu, penulisan artikel ini juga akan memberikan cadangan penambahbaikan undang-undang untuk membanteras jenayah rasuah di Malaysia.

Definisi Jenayah Kolar Putih Secara umumnya, golongan kolar putih ini terdiri daripada golongan pertengahan seperti penjawat awam atau golongan atasan seperti ketua sesuatu pentadbiran atau institusi serta ahli politik. Jenayah kolar putih pula merujuk kepada perbuatan salah laku oleh golongan tersebut yang bersangkut paut dengan bidang tugas mereka. T.R.Young telah mentakrifkan jenayah kolar putih sebagai penipuan dan perbuatan salah laku yang melibatkan individu-individu dalam sesebuah organisasi perniagaan, badan kerajaan atau badan perdagangan. Beliau berpendapat bahawa jenayah kolar putih ialah jenayah yang melibatkan pecah amanah secara tersirat yang wujud bersama-sama jawatan yang dipegang atau mana-mana kedudukan amanah.1 Sehubungan dengan itu, Supt Lim Hong Shuan menyatakan bahawa jenayah-jenayah seperti penipuan, pecah

1

Young, T. R. (1985) "Social Justice vs Criminal Justice: An Agenda for Critical Criminology," The Journal of Sociology & Social Welfare: Vol. 12 : Iss. 3 , Article 7. diakses pada 23 Januari 2022

1

amanah, penyelewengan dan pengubahan wang haram yang dilakukan oleh golongan atasan juga boleh dikategorikan sebagai jenayah kolar putih.2 Berdasarkan

definisi-definisi

jenayah

kolar

putih

yang

diberikan

oleh

penyelidik-penyelidik yang lepas, dapat kita simpulkan bahawa skop jenayah kolar putih ini besar, malah ianya boleh dianggap sebagai ‘Bapa Segala Jenayah’. Hal ini demikian kerana sekiranya jenayah kolar putih berleluasa dan tidak dapat dikawal lagi, nescaya kegiatan jenayah-jenayah lain juga akan turut berkembang pesat di negara Malaysia. Sebagai contoh, sekiranya pegawai penguatkuasa yang telah ditugaskan untuk memerangi jenayah dan melindungi rakyat di Malaysia terpalit dengan kegiatan rasuah, sudah tentu mereka tidak dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya. Contoh ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni harapkan pagar, pagar makan padi. Siapa lagi yang boleh kita harapkan kalau bukan mereka yang telah diamanahkan untuk memikul tugas tersebut demi mempertahankan keselamatan dan menjamin kesejahteraan negara. Oleh sebab itu, kredibiliti penjawat awam serta ahli politik perlu dijaga demi memulihkan kembali kepercayaan orang ramai terhadap sistem di negara kita.

Jenayah Kolar Putih di Malaysia Rasuah merupakan antara jenayah kolar putih yang sering dilakukan di Malaysia. Malaysia telah terlibat dengan skandal rasuah yang tidak berkesudahan dari kelas atasan kepada orang bawahan, di sektor awam dan juga swasta. Rasuah ialah suatu penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Contoh suapan ialah wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah dan diskaun.3 Umum mengetahui bahawa kes rasuah dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik bukanlah suatu perkara baharu di Malaysia dan di seluruh dunia. Malahan, isu ini seperti tiada surutnya kerana pada tahun ini sahaja rakyat Malaysia sering kali dikejutkan dengan berita rasuah dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik. Lebih menyedihkan apabila Malaysia telah merekodkan penurunan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada dua tahun berturut-turut. 2

Shuan, Supt. (2005). WHITE-COLLAR CRIME IN MALAYSIA diakses pada 23 Januari 2022 3 Suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia (Sprm). (n.d.). diakses pada 30 Januari 2022.

2

Pada tahun 2020, Malaysia berada di tangga ke 57, manakala pada tahun 2021, Malaysia telah jatuh lima anak tangga kepada kedudukan 62 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).4 Penurunan yang drastik ini menunjukkan bahawa kes rasuah di Malaysia kian meningkat dan memerlukan campur tangan dari kerajaan untuk membendung gejala rasuah. Prof Dr Mohd Mizan Aslam selaku Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) berkata jumlah tangkapan untuk kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan penjawat awam adalah sebanyak 467 orang pada 2020 dan 411 orang pada 2021.5 Walaupun terdapat pengurangan tangkapan sebanyak 56 kes, jumlah tangkapan seramai 411 orang penjawat awam amat membimbangkan kerana ia menunjukkan bahawa gejala rasuah sudah menular dalam perkhidmatan awam dan kemungkinan juga masih ramai pengamal rasuah yang masih belum ditangkap. Terdapat juga segelintir ahli parlimen yang telah mendapat mandat dari rakyat turut terlibat dalam kes rasuah dan sedang dalam perbicaraan mahkamah. Antara ahli parlimen yang masih dalam perbicaraan untuk kes rasuah ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), Ahli Parlimen Bagan iaitu Lim Guan Eng yang menghadapi tuduhan rasuah melibatkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang6 dan Ahli Parlimen Kinabatangan iaitu Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang dibicarakan di mahkamah untuk kes menerima rasuah dari syarikat sendirian berhad.7 Walaupun mahkamah masih belum membuat keputusan terhadap kes-kes tersebut, namun kes rasuah yang membabitkan ahli parlimen ini bagai menconteng arang di muka. Ianya juga akan menyebabkan penduduk di Malaysia serta negara luar untuk memandang serong terhadap kredibiliti pemimpin di negara kita.

4

Malaysia tangga Ke 62 indeks persepsi rasuah 2021. (2022, January 25). Berita Harian. diakses pada 28 Januari 2022. 5 ‘Kaki rasuah dah Tak takut'. (2022, January 16). Harian Metro. diakses pada 22 Januari 2022. 6 Hasimi Muhamad. (2021, September 30). Tun M perli Ahli Parlimen berdepan kes mahkamah berucap panjang di Dewan Rakyat. Astro Awani. diakses pada 28 Januari 2022. 7 Bung Moktar and wife’s corruption trial: Zizie Izette eligible to receive RM2.8m introduction fee, witness tells court. (2022, January 27). Malay Mail | Breaking News, Malaysia, World, Lifestyle News. diakses pada 28 Januari 2022.

3

Faktor-Faktor Rasuah Berlaku Antara faktor rasuah berlaku dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik ialah kuasa yang dimiliki oleh mereka. Tidak dinafikan bahawa semakin banyak kuasa yang dipegang oleh seseorang, semakin tinggi kebarangkalian untuk seseorang itu melakukan rasuah. Othman (2014) menyatakan bahawa seseorang yang mempunyai pengaruh politik yang besar mempunyai lebih banyak peluang untuk melakukan rasuah.8 Hal ini berlaku kerana seseorang yang mempunyai pengaruh politik yang besar turut terlibat dengan kuasa autoriti dan kuasa untuk mengelola pentadbiran negara. Golongan ini akan menjadi tumpuan orang yang memberi rasuah kerana mereka dapat melakukan apa-apa sahaja yang dikehendaki oleh orang yang memberi rasuah. Selain itu, tingkah laku pelaku rasuah seperti sikap tamak, nilai moral yang rendah, kurang integriti, mementingkan diri sendiri serta lemah iman yang mendorong segelintir penjawat awam menerima rasuah9 turut menjadi penyumbang utama untuk rasuah berlaku.

Kesan Rasuah Terhadap Negara Rasuah telah menyebabkan Malaysia dilabelkan sebagai negara kleptokrasi kerana kerakusan dan ketamakan beberapa orang yang terlibat dalam skandal mega, seperti 1MDB, FELDA, MARA, SRC Internasional, Jabatan Air Sabah dan Tabung Haji. Hal ini akan memberikan impak negatif ke atas negara dari berbagai-bagai aspek seperti kelembapan ekonomi, pengurangan kadar pelaburan dari negara luar, imej negara buruk di mata negara luar serta keruntuhan etika dan moral di Malaysia.10

Peruntukan Undang-Undang Yang Memerangi Rasuah di Malaysia Rasuah merupakan suatu kesalahan dan jenayah di Malaysia. Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2009) (Akta 694) merupakan akta utama yang digunakan untuk mendakwa seseorang yang disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah. Dalam akta tersebut, terdapat tiga kesalahan rasuah yang utama. Antaranya adalah seperti Seksyen 16 dan 17(a) yang 8

Othman, Z., Shafie, R., Zakimi, F. and Hamid, A. (2014), “Corruption – why do they do it?”, Procedia -Social and Behavioral Sciences: international Conference on Accounting Studies 2014, ICAS 2014, 18-19 August 2014, Kuala Lumpur, Malaysia, Elsevier B.V., Vol. 164, pp. 248-257. diakses pada 15 Januari 2022. 9 'Tamak punca rasuah penjawat awam, bukan gaji rendah'. (2021, April 15). Malaysiakini. diakses pada 31 Januari 2022. 10 Mohd Yusof, H. (2014). Rasuah politik dalam kalangan ahli politik di Malaysia. diakses pada 30 Januari 2022.

4

menyatakan bahawa mana-mana orang yang secara sendiri atau melalui orang lain yang secara rasuah meminta atau menerima rasuah telah melakukan suatu kesalahan rasuah. Selain itu, Seksyen 17(b) dalam akta tersebut juga menyatakan bahawa mana-mana orang yang secara sendiri atau melalui orang lain yang menawarkan atau memberi suapan kepada orang lain telah melakukan kesalahan rasuah. Seterusnya, Seksyen 23 menyatakan bahawa mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada untuk dirinya sendiri, atau sekutunya, telah melakukan suatu kesalahan rasuah di bawah akta ini. Penalti bagi ketiga-tiga kesalahan rasuah ini dinyatakan dalam Seksyen 24 dalam akta tersebut dimana mereka yang telah mengaku bersalah atau telah didapati bersalah untuk kesalahan rasuah akan menghadapi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. Berdasarkan hukuman yang dinyatakan di atas, dapat kita lihat bahawa hukuman yang dijatuhkan ke atas pelaku rasuah tidak setimpal dengan kesalahan yang telah mereka lakukan. Misalnya, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah dijatuhkan hukuman 6 tahun dan denda sebanyak RM15.45 juta atas kesalahan menerima rasuah.11 Jumlah hukuman yang diterima itu tidak setimpal dengan kesalahan rasuah yang dilakukan semasa perkhidmatannya sebagai Pengerusi Felda. Sudah jelas lagi bersuluh bahawa rasuah yang dilakukan oleh golongan kolar putih ini telah memberi banyak impak negatif kepada negara. Oleh sebab itu, hukuman penjara sebanyak 20 tahun tidak lagi relevan untuk kesalahan yang dilakukan oleh golongan kolar putih. Pada masa yang sama, ada juga yang berpendapat bahawa Malaysia perlu mengikut jejak langkah China dalam memerangi jenayah rasuah. Bagi kesalahan rasuah di negara China yang melibatkan penjawat awam, hukuman mati akan dijatuhkan kepada pesalah itu. Walakin begitu, hukuman berat ini tidak efektif untuk membersihkan negara tersebut dari gejala rasuah kerana China menduduki tempat ke-66 paling kotor dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021. Jika dilihat dari sudut lain, apa yang perlu untuk memerangi gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam serta ahli politik adalah penguatkuasaan undang-undang yang efisien, telus serta terpakai

11 Firdaus Azil. (2021, February 3). Rasuah: Isa Samad dijatuhi hukuman 6 tahun penjara dan denda RM15.45 juta. Astro Awani. diakses pada 31 Januari 2022.

5

kepada semua orang tanpa mengira status seseorang itu. Sekiranya hukuman mati kepada pelaku rasuah diperkenalkan di Malaysia tanpa penguatkuasaan undang-undang yang telus, nescaya masalah rasuah di Malaysia tidak akan selesai.

Cadangan Penambahbaikan Undang-Undang Untuk Memerangi Rasuah di Malaysia Walaupun Malaysia mempunyai akta khas seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2009) (Akta 694) untuk memerangi gejala rasuah, namun terdapat beberapa aspek undang-undang dalam akta tersebut yang memerlukan penambahbaikan demi menjamin ketelusan dan kecekapan penguatkuasaan undang-undang tersebut. Cadangan penambahbaikan yang pertama adalah berkenaan dengan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jika kita lihat Seksyen 5(1) dalam akta tersebut, Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang-Di Pertuan Agong berdasarkan nasihat daripada Perdana Menteri. Pada pendapat saya, seksyen tersebut perlu digubal supaya jawatan tersebut dilantik secara adil menerusi proses undian dalam Parlimen. Perkara ini penting untuk memastikan tiada kecenderungan untuk berlaku konflik kepentingan terutamanya apabila skandal rasuah melibatkan ahli politik dari parti memerintah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Cadangan penambahbaikan kedua pula berkenaan dengan hukuman untuk kesalahan rasuah. Sepertimana yang telah dibincangkan, hukuman sedia ada untuk jenayah rasuah terlalu sedikit dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, lebih-lebih lagi rasuah yang dilakukan oleh golongan kolar putih. Oleh itu, saya mencadangkan bahawa peruntukan hukuman penjara dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu ditingkatkan kepada 40 tahun dan penambahan hukuman lain seperti hukuman merotan. Sekiranya pesalah rasuah ditangkap kali kedua untuk kesalahan rasuah, hukuman yang lain seperti hukuman gantung perlu dikenakan terhadap pelaku rasuah tersebut. Hukuman yang berat untuk kesalahan rasuah amatlah perlu untuk memastikan pelaku tersebut serta orang ramai berasa takut untuk melakukan jenayah rasuah. Cadangan seterusnya pula adalah ahli politik yang memikul jawatan ahli Dewan Rakyat ataupun ahli Dewan Undangan Negeri dan sedang menghadapi pertuduhan rasuah di Mahkamah perlulah digantung kerja dan sekiranya didapati bersalah atas kesalahan rasuah, mereka harus dibuang kerja. Pada pendapat saya, perlu ada peruntukan undang-undang yang menjaga kesucian jawatan-jawatan tinggi tersebut untuk memastikan imej pemimpin di negara kita sentiasa terjaga.

6

Hal ini demikian kerana terdapat undang-undang berikut di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Peraturan 4(2) yang menyatakan sekiranya seorang penjawat awam itu telah disabit kesalahan rasuah, orang tersebut akan dibuang kerja serta-merta. Justeru itu, undang-undang seperti itu perlu digubal dalam akta untuk memastikan ahli-ahli Parlimen dan DUN yang telah terlibat dengan jenayah tidak bermoral itu turut dibuang kerja kerana mereka telah mengkhianati negara. Dengan berbuat demikian, imej negara kita juga akan kembali pulih kerana tindakan tersebut jelas menunjukkan bahawa kita serius dalam membanteras rasuah dan tidak akan memberi kompromi kepada pelaku-pelaku rasuah. Cadangan penambahbaikan yang keempat adalah berkenaan dengan penubuhan jawatankuasa bebas untuk menyiasat kes-kes rasuah yang melibatkan pegawai-pegawai tertinggi serta ketua dalam organisasi SPRM. Di dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, segala siasatan berhubung dengan jenayah rasuah akan dilakukan oleh pegawai SPRM. Ini juga termasuk dengan tuduhan-tuduhan kes rasuah yang melibatkan pegawai atasan SPRM. Pada pendapat saya, terdapat keperluan yang tinggi untuk penambahan undang-undang berkenaan dengan kuasa jawatankuasa bebas untuk menyiasat kes-kes profil tinggi membabitkan ketua atau pegawai atasan dalam SPRM. Hal ini demikian kerana terdapat potensi untuk berlaku konflik kepentingan serta siasatan yang tidak jitu terhadap ketua-ketua tersebut. Dengan adanya undang-undang sedemikian, kita dapat meraih kepercayaan serta mengubah persepsi negatif rakyat Malaysia tentang penyiasatan yang dilakukan terhadap golongan-golongan kolar putih oleh SPRM.

Kesimpulan Intihanya, rasuah merupakan wabak sosial yang harus dibanteras hingga ke akar umbi. Rasuah yang dilakukan oleh golongan kolar putih perlu dipandang serius kerana ianya umpama barah yang menular dalam negara sehingga menyebabkan demokrasi dan keluhuran negara tercabar. Penggubal undang-undang perlulah menggunakan kuasa yang mereka ada untuk menggubal undang-undang yang adil dan jitu untuk membanteras rasuah manakala pihak penguatkuasaan pula perlulah bersikap telus dan tidak memilih bulu dalam usaha memerangi rasuah dalam kalangan masyarakat biasa dan golongan kolar putih. Sekiranya semua pihak berganding bahu dan bersatu padu bagai aur dengan tebing dalam memainkan peranan masing-masing, nescaya Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bebas rasuah.

7...


Similar Free PDFs