CTU Contoh Dapatan Kajian PDF

Title CTU Contoh Dapatan Kajian
Author Hidayah Aqilah
Course Philosophy and current issues
Institution Universiti Teknologi MARA
Pages 12
File Size 207.1 KB
File Type PDF
Total Downloads 391
Total Views 503

Summary

PENGARUH AGAMA TERHADAP IDENTITI POLITIK:KAJIAN KES BELIA DI MALAYSIA 12AHMAD TARMIZI TALIB 3 , SARJIT S. GILL 4 & MOHD RAHIMI RAMLI 5ABSTRAKKerencaman anutan, fahaman dan amalan agama dilihat oleh ramai pengkaji menjadi faktor penentu keharmonian sosial di Malaysia. Peranan agama dalam menentuk...


Description

PENGARUH AGAMA TERHADAP IDENTITI POLITIK: KAJIAN KES BELIA DI MALAYSIA12 AHMAD TARMIZI TALIB3, SARJIT S. GILL4 & MOHD RAHIMI RAMLI5

ABSTRAK Kerencaman anutan, fahaman dan amalan agama dilihat oleh ramai pengkaji menjadi faktor penentu keharmonian sosial di Malaysia. Peranan agama dalam menentukan pemilihan aliran politik dan pemimpin kurang mendapat perhatian pengkaji. Artikel ini akan membincangkan hasil kajian tentang pengaruh agama dalam pemilihan parti dan pemimpin kalangan belia di Semenanjung Malaysia. Objektif kajian adalah untuk mengukur sejauh mana pengaruh agama memberi kesan kepada pemilihan belia terhadap parti dan pemimpin politik. Responden kajian ini seramai 400 orang yang terdiri daripada belia yang berumur 20 hingga 40 tahun. Bagi mengukur pengaruh tersebut, beberapa instrument telah dibangunkan. Untuk tahap pengetahuan terhadap agama, instrumen yang digunakan adalah berasaskan elemen pengetahuan asas terhadap empat agama utama iaitu Islam, Buddha, Hindu, dan Kristian. Penentuan pemilihan pemimpin dan parti politik oleh responden adalah berasaskan kepada kriteria keagamaan yang menjadi sebahagian personaliti pemimpin serta imej parti yang lebih mementingkan aspek agama secara umum. Pandangan responden diukur dengan menggunakan skala likert. Data diperoleh melalui soal selidik yang dianalisis secara deskiptif. Hasil kajian menunjukkan pengetahuan agama kalangan responden berada pada tahap yang tinggi. Selain itu, turut didapati bahawa terdapat pengaruh kriteria keagamaan dalam pemilihan pemimpin dan parti. Ini menunjukkan bahawa kriteria keagamaan mempengaruhi identiti politik belia di Semenanjung Malaysia. Kata kunci: Pengaruh Agama, Belia, Identiti Politik 1 Kertas ini dibentangkan di International Seminar on Democracy and Election, Solution for Establishing Good Governance yang dianjurkan oleh Universitas Hasanuldin (UnHas) Makassar Indonesia pada 17 dan 18 Mac 2015 di UnHas kampus, Makassar. 2 Kertas ini telah dibentangkan dalam Seminar on National Resilience: Diversity in Creating Unity yang dianjurkan oleh Institut of Tun Dr Mahathir Mohamad’s Thinking, Universiti Utara Malaysia di Premiera Hotel Kuala Lumpur pada 23 Disember 2014 dah telah diubah suai berasaskan komen dan cadangan yang diterima. 3 Profesor Madya dan Ketua, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Malaysia. Email: [email protected] 4 Profesor Madya, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Malaysia. Email: [email protected] 5 Calon PhD, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Malaysia. Email: [email protected]

1

PENGENALAN Malaysia seperti kebanyakan negara lain di dunia mempunyai kerencaman etnik dan budaya. Namun begitu, kemajmukan ini turut digariskan sebagai salah satu cabaran utama dalam misi menjayakan pembangunan negara ke arah mencapai status negara maju mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020. Situasi semasa hubungan antara agama khususnya antara Islam dan bukan Islam dalam kalangan masyarakat Malaysia digambarkan agak membimbangkan. Ia juga digambarkan sebagai hubungan yang naik dan turun (Ahmad 2003). Namun begitu kajian mengenai toleransi agama di Malaysia antara tahun 2006 hingga tahun 2012 menunjukkan tahap toleransi yang amat baik antara penganut agama (Talib 2010; Talib, Jawan et al. 2012). Pembentukan identiti politik rentetan daripada hubungan antara penganut agama yang tidak menentu menarik perhatian pengkaji. Dalam melindungi amalan beragama, Perlembagaan Persekutuan (Artikel 3), memperuntukkan agama Islam sebagai agama persekutuan, manakala agama-agama lain bebas diamalkan oleh para penganutnya. Justeru itu, agama-agama lain selain agama Islam boleh diamalkan tanpa sebarang sekatan. Manifestasinya, ia dapat dilihat dengan jelas terutamanya di kawasan bandar kerana masyarakat selain Islam majoritinya berada di sana berbanding di kawasan luar bandar. Kawasan luar bandar majoritinya didiami oleh masyarakat Melayu Islam. Namun sejauh mana agama memainkan peranan dan mempengaruhi keharmonian di Malaysia masih menjadi persoalan. Pilihan raya umum (PRU) 2008 merupakan PRU pertama Barisan Nasional (BN) gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di peringkat parlimen selepas PRU 1969. Malah BN kehilangan beberapa kerajaan negeri yang selama ini menjadi kubu kuat mereka seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Kedah. Persoalan yang timbul apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pengundi untuk mengundi. Persoalan sejauh mana pengaruh agama terhadap kecenderungan dan pemilihan dalam politik, termasuk segi pemilihan parti dan calon menjadi fokus utama kajian ini. Hubungan antara agama dan pembentukan identiti politik dapat dilihat melalui observasi umum dengan penggunaan simbol-simbol keagamaan ketika berkempen. Pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) umpamanya sering dilihat mengenakan 2

kopiah putih yang dipakai oleh kebanyakan orang Islam ketika solat sebagai identiti yang dikaitkan dengan politik. Agenda Islam dalam manifesto pilihanraya digunakan oleh PAS dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malay National Organization-UMNO) sejak sekian lama hingga kini bagi meraih sokongan dan undi. PENYATAAN MASALAH DAN OBJEKTIF Keharmonian dan keutuhan perpaduan dalam sesebuah Negara berkait rapat dengan penerimaan perbezaan anutan agama oleh anggota masyarakat. Walaupun secara umum agama sentiasa mengajar penganutnya erti kasih sayang pendamaian, namun konflik antara agama masih tetap berlaku. Misalnya konflik agama yang tercetus di Tibet, Turkmenistan, Azerbaijan, Kazakhtan, Mesir, Algeria, Afganistan, dan Ireland (Shamsul Amri Baharuddin, 2012). (Shamsul 2001) (Aziz and Shamsul 2004) (Shamsul 2005) dan Rahimin Affandi Abd. Rahim et. al. (2011) menjelaskan bahawa dalam konteks Malaysia, agama mempunyai kaitan rapat dengan pengenalan etnik. Etnik majoriti di Malaysia adalah Melayu yang kebanyakannya beragama Islam, diikuti etnik Cina yang kebanyakannya beragama Buddha dan dan Kristian serta etnik India yang kebanyakannya beragama Hindu. Kerencaman etno-agama ini kadangkala menjejaskan hubungan Antara etnik dan agama serta terbawa-bawa dalam permainan politik. Ini adalah kerana tiga parti utama dalam BN yang merupakan gabungan parti pemerintah sejak merdeka iaitu UMNO, Persatuan Cina Malaysia (Malaysian Chinese Association –MCA) dan Kongress India Se-Malaysia (Malaysian Indian Congress-MIC) adalah parti yang berteraskan etnik. Perjuangan parti juga banyak mengutamakan etnik yang mereka wakili. Beberapa peristiwa yang tidak diingini berlaku sebelum ini seperti insiden yang besar dalam sejarah yang membabitkan isu antara kaum dan agama adalah rusuhan kaum pada tahun 1969, Kampung Medan pada tahun 2001, isu Hindu Rights Action Force (HINDRAF) pada tahun 2007, kes Lina Joy yang dilihat mengeruhkan hubungan antara agama serta memberi kesan kepada pembentukan identiti politik. Pada tahun 2008 beberapa insiden kecil seperti perarakan kepala lembu di Selangor yang membantah pembinaan kuil Hindu yang dipercayai diterajui oleh satu parti politik serta isu kepala khinzir yang dilontarkan ke dalam kawasan masjid di Johor

3

menunjukkan bahawa agama mampu mempengaruhi landskap sosio-politik di Malaysia. Justeru itu, cabaran hubungan antara agama di Malaysia yang telah lama berlaku dan ia dilihat semakin membimbangkan akhir-akhir ini. Faktor kegagalan memahami kepelbagaian budaya sering ditonjolkan sebagai punca kejadian tersebut berlaku. Ia juga dijadikan sebagai modal politik oleh beberapa parti politik bagi meraih sokongan. Justeru itu, kajian ini meneliti pengaruh agama terhadap pemilihan pemimpin dan parti yang merupakan penentu kepada landskap politik Malaysia. Secara khususnya kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh agama terhadap kecenderungan politik yang difokuskan kepada empat agama terbesar di Malaysia iaitu Islam, Buddha, Kristian dan Hindu serta hubungannya dengan pemilihan pemimpin parti politik. LITERATUR Pengaruh agama terhadap identiti politik dapat dikesan melalui observasi dalam kehidupan masyarakat di Malaysia terutamanya bagi etnik Melayu Islam. Menurut K. Ramanathan Kalimuthu (1987), istilah politik digunakan untuk menandakan semua proses pembentukan keputusan melibatkan orang awam. Politik membentuk dan mencorakkan kebanyakkan aspek-aspek kehidupan dan ia merupakan teras kepada perkembangan pelbagai masalah dalam masyarakat dan ragam tindakan kolektif penyelesaian masalah dalam masyarakat (Mustafa Ishak & Afifi Abd Razak, 2006). Kajian Lee Yok Fee (2012) mengenai pengaruh agama Kristian dalam identiti masyarakat Cina mendapati penganutan agama Kristian telah mencetuskan transformasi identiti di kalangan orang Cina walaupun tidak dinafikan budaya nenek moyang masyarakat Cina lebih dominan diamalkan dalam kehidupan harian mereka. Berbeza pula dengan kajian Teo Kok Seong (2012) terhadap pengaruh agama Buddha dalam identiti masyarakat Cina di Kelantan yang mendapati bahawa Agama Buddha telah mempengaruhi masyarakat tersebut sehingga mengurangkan keCinaan mereka. Kajian (Shukeri Mohamad, 2011), mengenai pengaruh politik Islam di negeri Kelantan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia melihat sebaliknya. Beliau menegaskan bahawa pengaruh agama yang diterap dalam kepimpinan politik, dapat mempengaruhi gaya hidup masyarakat. Namun, perubahan tersebut menjelaskan pengaruh satu agama iaitu Islam sahaja dalam politik yang turut mempengaruhi gaya 4

hidup masyarakat di Kelantan. Dalam kajian beliau, perubahan gaya hidup penganut bukan Islam tidak diperincikan. Islam memainkan peranan terpenting dalam pembentukan identiti Melayu, begitu juga dengan peranan agama Hindu bagi etnik India. Oleh yang demikian, sebagai elemen primodial yang sangat penting bagi pembentukan identiti etnik, agama dilihat bukan hanya menjadi pra-syarat identiti atau elemen teras bagi pembentukan ideologi nasionalisme bagi sesebuah etnik malah ia menjadi unsur penting bagi sosiologi, komunikasi dan strategi politik (Badrul Azmier Mohamed@ & Bakar at. al, 2010). Dari perspektif sejarah, politik Malaysia melalui perjalanan yang panjang dan begitu kompleks. Ringkasnya, politik Malaysia bukan hanya bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana sebelum Kerajaan Melaka, sudah wujud banyak kerajaan seperti Kerajaan Kedah Tua (Kedah), Kerajaan Chi-Tu (Kelantan), Kerajaan Tan-Tan (Terengganu), Kerajaan Gangga Negara (Perak), Kerajaan Langkasuka (Patani) dan Kerajaan Lo-Yueh (Johor). Namun begitu, terdapat dua kesultanan yang paling berpengaruh dalam perkembangan politik di Malaysia, iaitu Kesultanan Melaka dan Kesultanan Brunei (Jayum A. Jawan, 2003). Lantaran kerana kepelbagaian latarbelakang etnik6 yang mendiaminya maka lanskap politik di Malaysia diselubungi dengan perjuangan yang berasaskan perkauman (Ishak Saat, 2010). Salah satu sebab kerencaman situasi ialah kerana Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum (Zaid Ahmad, 2010). Antara peristiwa kekeruhan hubungan etnik yang sering ditonjolkan ialah peristiwa berdarah 13 Mei yang tercetus ekoran Pilihanraya Umum Ke 3 pada 10 Mei 1969 (Ishak Saat, 2009) yang sering dikaitkan dengan faktor etnik dan agama. Maka, isu agama perlu ditangani dengan penuh hikmah agar ia bukan menjadi isu yang boleh menggugat keamanan dan kedamaian yang dinikmati bersama. Menurut Mohd Ridhuan Tee Abdullah (2010), politik Malaysia sejak dari awal lagi, melalui penjajahan demi penjajahan dan kemasukan imigran, adalah bersifat perkauman. Oleh itu, perpaduan kaum perlu sentiasa dipupuk dalam masyarakat. Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2007), perpaduan merupakan satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat 6 Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik, iaitu Melayu, Cina dan India yang merupakan etnik majoriti di Semenanjung Malaysia di samping etnik minoriti yang lain. Di Sabah dan Sarawak, etnik majoritinya adalah Iban, Kadazan, Bajau, Dayak serta lebih daripada 60 etnik minoriti yang lain.

5

dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air. Dalam konteks politik di Malaysia, integrasi dan perpaduan tidak banyak melibatkan unsur-unsur asimilasi tetapi lebih mirip kepada integrasi, akomodasi dan akulturasi (Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 2010). Percakaran antara etnik dapat dikurangkan dan konflik kepentingan etnik dapat diredakan melalui demokrasi permuafakatan. Permuafakatan politik akan terus menjadi formula mujarab bagi menjamin kestabilan dan kemajuan masa depan negara (Shamsul Amri Baharuddin, 2012).

METODOLOGI KAJIAN Kajian pengaruh agama terhadap kecenderungan politik ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan memilih kaedah soal selidik untuk pengumpulan data. Skala Likert digunakan untuk mengukur elemen pengetahuan agama dan juga elemen kecenderungan politik. Instrumen yang digunakan dalam kaji ini dibangunkan sendiri oleh pengkaji. Instrumen tersebut dapat dilihat dalam pembentangan hasil dapatan kajian tersebut. Pemilihan responden adalah menggunakan kaedah stratified random sampling. Fokus kajian ini adalah belia, jadi responden dalam kajian ini dipilih daripada mereka yang berumur antara 21 hingga 40 seperti yang didefinisikan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Jadual 1 memperlihatkan data mengenai taburan demografi responden. Jadual 1: Taburan Demografi Responden Item Umur: 21 – 25 26 – 30 31 – 35 36 - 40

(n)

Peratusan (%)

284 48 26 42

71.0 12.0 6.5 10.5

Jantina: Lelaki Perempuan

166 234

41.5 58.5

6

Etnik: Melayu Cina India Lain-lain

224 105 62 9

56.0 26.3 15.5 2.3

Agama Islam Buddha Kristian Hindu Lain-lain Tiada Agama

232 80 32 50 6 5

58.0 20.0 8.0 12.5 0.3 1.3

Tahap Pendidikan Tertinggi UPSR PMR SPM STPM DIPLOMA BACELOR MASTER PhD Lain-Lain

4 14 89 26 91 159 5 3 9

1.0 3.5 22.3 6.5 22.8 39.8 1.3 0.8 2.3

Sektor Pekerjaan Kerajaan/Awam Swasta Bekerja Sendiri Tidak Bekerja Pelajar

66 117 16 13 188

16.5 29.3 4.0 3.3 47.0

Berdasarkan Jadual 1, taburan umur dibahagikan kepada 4 peringkat, iaitu 71.0 peratus yang berumur 21 hingga 25 tahun, 12.0 peratus responden pula terdiri antara 26 hingga 30 tahun manakala responden yang berumur di antara 31 hingga 35 tahun menyumbang sebanyak 6.5 peratus dan 10.5 peratus responden sahaja berumur di antara 36 hingga 40 tahun terpilih menjadi sampel. Taburan jantina, jumlah responden Antara lelaki dan perempuan adalah hampir sama iaitu perempuan sebanyak 58.5 peratus dan lelaki sebanyak

41.5 peratus. Oleh kerana kaedah persampelan

menggunakan stratified random sampling, maka, peratusan taburan responden mengikut etnik adalah menghampiri peratusan taburan penduduk Malaysia. Taburan responden mengikut etnik, secara umumnya menunjukkan majoriti responden adalah Melayu sebanyak 56.0%. Manakala, bagi etnik Cina pula sebanyak 26.3%, sementara itu, etnik India terdiri daripada 15.5% responden dan seterusnya etnik-etnik lain hanya diwakili 2.3% responden sahaja. Taburan mengikut agama, majoriti responden menganut agama Islam, iaitu sebanyak 58.0%, Buddha 20.0%, Kristian 8.0%, Hindu 7

12.5% , 1.3% tiada agama dan 0.3% adalah terdiri daripada penganut agama tradisi atau lain-lain. Sementara itu, tahap pendidikan sebahagian besar responden adalah terdiri daripada mereka yang pendidikan yang tinggi, iaitu 1.0% tahap pendidikan UPSR, tahap pendidikan PMR 3.5%, tahap pendidikan SPM 22.3%, tahap pendidikan STPM 6.5%, tahap pendidikan di peringkat diploma 22.8%, tahap pendidikan Bacelor 39.8%, tahap pendidikan peringkat Master 1.3%, tahap pendidikan peringkat PhD 0.8%. Terdapat responden iaitu 2.3% adalah pendidikan selain daripada yang disenaraikan termasuk mereka yang tidak pernah mendapat pendidikan formal. Di samping itu, secara umumnya terdapat 16.5% responden bekerja di sektor kerajaan/awam, 29.3% bekerja di sektor swasta, 4.0% bekerja sendiri, 3.3% tidak bekerja dan 47.0% masih belajar. Jadual 2 memperlihatkan tahap pengetahuan asas responden terhadap empat agama terbesar di Malaysia. Jadual 2: Tahap Pengetahuan Asas Agama Tahap Tinggi Sederhana Rendah Jumlah

n 207 189 4 400

% 51.8 47.3 1.0 100.0

Berdasarkan Jadual 2, tahap pengetahuan asas agama di Semenanjung Malaysia menunjukkan hasil kajian sebanyak 51.8% mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi. Manakala, 47.3% mempunyai tahap pengetahuan yang sederhana. Oleh itu, dapatan kajian ini membuktikan bahawa majoriti responden mempunyai pengetahuan asas terhadap agama sendiri dan agama lain yang baik. Namun begitu pengetahuan yang diukur adalah terbatas kepada pengetahuan tentang asas agama. Ia tidak menjangkau pengetahuan agama yang lebih mendalam. Dapatan ini boleh memberi gambaran awal tentang pengetahuan asas agama responden.

8

Jadual 3 memperlihatkan pemilihan pemimpin berdasarkan kriteria agama. Jadual 3: Pemilihan Pemimpin Berdasarkan Kriteria Agama Tahap Tinggi Sederhana Rendah Jumlah

n 177 199 24 400

% 44.3 49.8 6.0 100.0

Pemilihan pemimpin berdasarkan kriteria agama dikaji agar dapat memberi gambaran yang jelas sama ada pemilihan dalam politik Malaysia ini turut dipengaruhi oleh kriteria agama yang diketahui umum bahawa nilai murni dalam sesebuah agama mampu menjaga keharmonian masyarakat. Oleh itu, berdasarkan dapatan kajian dalam Jadual 3, tahap pemilihan berdasarkan kriteria agama menunjukkan hasil kajian sebanyak 44.3% pada tahap tinggi dalam pemilihan pemimpin berdasarkan kriteria agama. Manakala, peratusan yang lebih tinggi iaitu 49.8% berada pada tahap sederhana, sementara itu, hanya 6.0% responden berada pada tahap rendah. Justeru, dapatan menunjukkan pemilihan pemimpin politik di Malaysia amat dipengaruhi oleh kriteria agama sama ada perkongsian agama yang sama atau persepsi mereka terhadap seseorang berkaitan pengamalan agama. Ini membuktikan sekiranya seseorang pemimpin dilihat lebih berpengetahuan agama, maka ia berpotensi menjadi pilihan utama. Walau bagaimanapun, majoriti sederhana ini adalah disebabkan pemilhan mereka lebih menjurus pengamalan agama seseorang berbanding perkongsian agama yang sama. Jadual 4 memaparkan pandangan responden mengenai pemilihan parti politik berdasarkan kriteria agama. Jadual 4: Pemilihan Parti Berdasarkan Kriteria Agama Tahap Tinggi Sederhana Rendah Jumlah

n 313 82 5 400

% 78.3 20.5 1.3 100.0

Pemilihan parti politik berdasarkan kriteria agama dikaji agar dapat memberi gambaran yang jelas sama ada perubahan landskap politik Malaysia ini turut dipengaruhi oleh kriteria agama sebagai salah satu unsur yang perlu ada dalam dasar 9

sesebuah parti politik. Oleh itu, berdasarkan dapatan kajian dalam Jadual 4, tahap pemilihan berdasarkan kriteria agama menunjukkan hasil kajian sebanyak 78.3% pada tahap tinggi dalam pemilihan parti politik berdasarkan kriteria agama. Manakala, 20.5% sederhana yang mempunyai tahap pemilihan berdasarkan kriteria agama. Sementara itu, 1.3% responden berada pada tahap rendah berkaitan pemilihan parti politik berdasarkan kriteria agama. Justeru, pemilihan parti politik di Malaysia dilihat turut dipengaruhi oleh kriteria agama sebagai salah satu unsur utama. Hal ini juga turut menggambarkan bahawa semua penganut agama meletakkan bahawa parti yang menjaga sensitiviti agama lebih dominan sebagai pilihan mereka.

KESIMPULAN Hasil kajian yang dibentangkan di atas menunjukkan bahawa faktor keagamaan adalah merupakan antara faktor kukuh dalam pemilihan pemimpin dan parti politik oleh golongan belia. Ini berarti golongan ini lebih suka memilih pemimpin dan parti politik yang memperlihatkan identiti keagamaan atau memperjuangkan agenda agama. Ia seolah-olah mengukuhkan dakwaan bahawa identiti keagamaan berupaya mempengaruhi identiti politik kalangan belia di Semenanjung Malaysia. Perbincangan lanjut mengenai belia dari kumpulan etnik manakah yang mempunyai kece...


Similar Free PDFs