CTU552 Dualisme (Cara Mengatasi + Kesimpulan) PDF

Title CTU552 Dualisme (Cara Mengatasi + Kesimpulan)
Course Falsafah
Institution Universiti Teknologi MARA
Pages 4
File Size 70.3 KB
File Type PDF
Total Downloads 492
Total Views 1,020

Summary

4 Cara Mengatasi Dualisme Dalam PendidikanDualisme dalam pendidikan bukanlah sesuatu masalah yang boleh dipandang sebelah mata dan dibiarkan begitu sahaja, Ini kerana kesan buruknya melebihi kesan baik yang dibawakan kepada masyarakat. Oleh kerana isu ini didalam konteks pendidikan, antara cara bagi...


Description

4.5 Cara Mengatasi Dualisme Dalam Pendidikan Dualisme dalam pendidikan bukanlah sesuatu masalah yang boleh dipandang sebelah mata dan dibiarkan begitu sahaja, Ini kerana kesan buruknya melebihi kesan baik yang dibawakan kepada masyarakat. Oleh kerana isu ini didalam konteks pendidikan, antara cara bagi mengatasi masalah ini juga boleh dipusatkan dalam aspek-aspek pendidikan juga seperti pembentukan atau perapian semula sistem pendidikan yang telah sedia ada dan juga integrasi Islam dalam sistem pendidikan buat anak muda. Selain itu juga, pendekatan pendidikan informal juga boleh dilakukan seperti melalui penghidupan biah solehah dalam komuniti.

4.5.1 Pendidikan Bersepadu Langkah pertama yang boleh dilakukan bagi pihak kerajaan, khususnya kementerian berkaitan pelajaran, pendidikan dan akademik seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, ialah melalui penerapan sistem pendidikan yang baharu iaitu pendidikan bersepadu. Isunya, masalah dualisme dalam pendidikan ini telah menyebabkan perpisahan di antara bidang pengetahuan agama dengan bidang pengetahuan duniawi seperti ilmu matematik, sains dan lain-lain. Ini secara tidak langsung boleh menyebabkan kepentingan ilmu keagamaan dibelakangkan sekaligus membantutkan lagi penerapan ilmu-ilmu agama dengan kehidupan seharian dalam diri individu.

Oleh itu, pendidikan bertaraf pendidikan bersepadu perlu

diwujudkan bagi mengembalikan dan menyelarikan kepentingan ilmu-ilmu kerohanian. Kita tidak mahu akan pendidikan yang hanya mengisi otak dengan bahan-bahan mentah sematamata tetapi ilmu yang dipelajari itu hendaklah bersepadu dengan nilai-nilai akhlak, agama dan kehidupan.

Islamisasi ilmu dapat dilakukan bagi membantu membentuk pendidikan yang bersepadu. Islamisasi ilmu melibatkan menyesuaikan setiap mata pelajaran yang dipelajari dengan melihatnya melalui kaca mata Islam, dimana Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan panduan. Ianya mempunyai persamaan dengan konsep pendidikan bersepadu. Dari segi cara untuk melaksanakan Islamisasi ilmu ini, yang pertama ialah dengan menyesuaikan silibus pembelajaran, buku teks dan bahan-bahan rujukan pembelajaran yang lain berlandaskan dengan agama Islam. Ilmu pengetahuan yang didapati di sekolah perlulah berkisarkan pengajaran dan prinsip Islam supaya dapat mencapai penerapan nilai-nilai akhlak dan Islam dari dalam bilik darjah. Ini bertujuan untuk memastikan tiada anasir-anasir barat dan fahaman

sekular yang bertentangan dengan Islam, bercampur dengan mata pelajaran dan kursus yang ditawarkan kepada pelajar. Ini bukanlah bererti menolak mentah ilmu-ilmu yang mempunyai unsur dari Barat, akan tetapi mengambil yang baik darinya dan dalam masa yang sama dengan mengikut ukuran Islam itu sendiri. Apabila kita sendiri mengawal dan menapis maklumat-maklumat dan ilmu daripada yang mempunyai unsur berbahaya seperti yang boleh melemahkan pegangan umat kepada kepentingan ilmu agama, maka lebih mudah untuk kita mencantas masalah berkembangnya jenis-jenis pemikiran yang sekular dan berunsur dualism dalam kalangan pelajar.

Dengan cara integrasi nilai-nilai pengislaman dalam ilmu yang dipelajari di setiap tingkat pendidikan, terma pendidikan aliran agama dan pendidikan aliran biasa dapat sedikit demi sedikit dikaburkan. Kejayaan dalam usaha-usaha menghapuskan dualism dalam pendidikan di dalam bilik darjah dapat dilihat apabila tidak lagi wujud pengkategorian ilmu kepada agama dan sekular, iaitu wujudnya pendidikan bersepadu yang merangkumi semua aspek bukan sahaja dari segi sains, matematik atau secara umumnya duniawi sahaja, bahkan juga merangkumi aspek-aspek keagamaan dan akhlak.

4.5.3 Perwujudan Biah Solehah

Pendidikan sudah tentunya tidak terhad kepada pendidikan yang berlaku dalam bilik darjah, namun ia juga merangkumi pendidikan secara tidak formal misalnya melalui pergaulan dan nasihat dalam keluarga. Islam memupuk supaya menghidupkan suasana biah solehah dalam kalangan komuniti. Biah solehah ini bermaksud sebuah iklim yang baik, yang dibina daripada ikatan syariat Islam. Ringkasnya, sebuah masyarakaat yang menghidupkan suasana biah solehah ialah yang beramal dengan nilai-nilai kebaikan dan mencegah kemungkaran. Soalnya, bagaimanakah perwujudan biah solehah ini relevan bagi menyelesaikan masalah dualism dalam pendidikan? Maka jawapannya ialah apabila nilainilai kebaikan, akhlak-akhlak islam dan pengetahuan tentang agama sudah menjadi norma kepada masyarakat tidak kira di setiap peringkat usia, maka ianya dapat meneguhkan lagi pegangan kita kepada nilai-nilai agama dan membantu terutamanya golongan-golongan muda untuk lebih arif menghakimi budaya-budaya misalnya budaya barat yang mana boleh mendatangkan impak negatif kepada masyarakat dan juga kepada iman seseorang individu. Sebuah masyarakat yang berjaya menghidupkan biah solehah akan menjadi seperti air yang

mengalir membasahi lembah. Kebaikan seseorang individu itu bukan memanfaatkan dirinya sendiri malah mempengaruhi insan-insan lain untuk bersama kearah kebaikan.

Untuk mencapai suasana biah solehah ini, semestinya mustahil untuk kita mengubah komuniti begitu sahaja, jadi langkah yang paling utama bagi mencapai misi ini ialah dengan pertama-tama sekali menerapkan biah solehah didalam kelompok keluarga sendiri. Nasihat dan amalan dalam keluarga yang apabila sudah menjadi norma kepada semakin banyak keluarga akan akhirnya membentuk sebuah komuniti biah solehah pada skala yang lebih besar. Tuntasnya, pengaruh-pengaruh rakan sebaya seperti di sekolah juga akan lebih berat kearah kebaikan berbanding kearah kemungkaran kerana anak-anak muda juga telahpun terlatih dengan nilai-nilai yang betul.

Kesimpulan Dualisme dalam pendidikan sememangnya adalah masalah yang wujud dalam sistem pendidikan negara kita dan membawa ancaman kepada pemikiran anak muda. Pembahagian ilmu kepada dua bahagian iaitu ilmu keagamaan dan ilmu Barat berpotensi mendatangkan kesan yang negatif sekiranya penghayatan ilmu berlaku dengan cara berat sebelah. Apakah gunanya sebuah kehebatan sesuatu bangsa dalam aspek teknologi, ekonomi dan sebagainya namun dari segi aspek akhlak, nilai diri dan prinsip agama Islamnya runtuh tidak bertiang. Sifat dan akhlak seseorang individu seperti pelajar itu sendiri akan dipengaruhi jika perkara ini hanya dihadapi dengan menutup sebelah mata. Namun begitu, usaha-usaha bagi menangani masalah dualism didalam pendidikan negara juga telah dijalankan dan ianya tidak adil untuk memukul rata umpama semua pihak memejam mata membiarkan masalah ini terus menular.

Namun, bagi menangani masalah ini, setiap insan perlu memainkan peranan

masing-masing. Harapnya, dengan hasil usaha membendung masalah ini kita akan kelak mempunyai sebuah generasi yang majoritinya mempunyai pendidikan yang seimbang dan dipantulkan dengan akhlak dan pekerti yang murni. Dengan tertubuhnya sebuah sistem pendidikan yang lebih baik ini, ianya akan dituruti dengan sistem ekonomi, politik dan sosial yang lebih telus dengan nilai-nilai murni agama Islam pada masa generasi muda ini pula mentadbir dunia....


Similar Free PDFs