Laporan Latihan Industri PDF

Title Laporan Latihan Industri
Course Law
Institution Universiti Teknologi MARA
Pages 7
File Size 124.5 KB
File Type PDF
Total Downloads 161
Total Views 458

Summary

LAPORAN LATIHAN INDUSTRI 2021NUR IZYAN BINTI HAMDAN2019584235SEKSYEN PERUNDANGAN & PEMATUHANYAYASAN SARAWAK24 FEBRUARI 2021 - 24 MAC 2021FAKULTI UNDANG-UNDANGUiTM SHAH ALAM1. PENGHARGAANSetinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada pihak Yayasan Sarawak kerana telah memberi peluang kepada ...


Description

LAPORAN LATIHAN INDUSTRI 2021

NUR IZYAN BINTI HAMDAN 2019584235

SEKSYEN PERUNDANGAN & PEMATUHAN YAYASAN SARAWAK

24 FEBRUARI 2021 - 24 MAC 2021 FAKULTI UNDANG-UNDANG UiTM SHAH ALAM

1.

PENGHARGAAN

Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada pihak Yayasan Sarawak kerana telah memberi peluang kepada saya untuk menjalani latihan industri / praktikal di Yayasan Sarawak selama 1 bulan. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan berkat limpahan rahmat dan kurnia-Nya, saya berjaya menyiapkan laporan dan tugasan yang diberikan dengan lancar dan baik.

Pertamanya, saya ingin mendedikasikan ucapan penghargaan ini kepada Encik Jolly bin Marikan yang juga selaku penyelia saya kerana berkat tunjuk ajar serta bimbingan daripadanya membuatkan saya dapat menimba banyak ilmu pengetahuan daripada beliau. Seterusnya, sekalung ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada ibu bapa saya yang telah banyak membantu saya dengan memberikan segala kemudahan dan sokongan yang tidak terhingga sehingga saya berjaya menjalani latihan industri ini selama empat minggu. Selain itu, saya turut ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada organisasi yang terlibat dalam menjayakan laporan ini iaitu Yayasan Sarawak kerana telah membenarkan saya untuk menjalani latihan industri di organisasi tersebut. Di samping itu, ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada staf-staf Yayasan Sarawak, khususnya kepada Puan Alina dan Cik Abiedah kerana sudi memberikan tunjuk ajar yang tidak berbelah bahagi serta kerjasama dalam menjayakan latihan industri. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan seperjuangan yang turut memberikan tunjuk ajar dalam menjalani latihan industri ini dan saya juga ingin menujukan ucapan penghargaan ini kepada mereka yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam latihan industri ini.

1

2.

PENGENALAN

Latihan industri diwajibkan kepada semua pelajar Program Sarjana Muda Undang-Undang dan merupakan salah satu keperluan untuk bergraduat. Tempoh yang ditetapkan untuk pelajar menjalani latihan industri ialah selama 4 minggu. Para pelajar dibenarkan memohon penempatan latihan industri di mana-mana firma, organisasi dan industri yang diminati bersesuaian dengan bidang yang diambil. Walau bagaimanapun, persetujuan daripada pihak Fakulti dan organisasi yang terlibat perlu dicapai terlebih dahulu sebelum pelajar menjalani latihan industri di tempat berkenaan. Pelajar hendaklah menyediakan resume untuk dihantar kepada organisasi yang mereka pilih beserta surat permohonan yang disediakan oleh Fakulti. Setelah permohonan penempatan pelajar diluluskan, barulah pelajar tersebut boleh menjalani latihan industri di firma, organisasi atau industri tersebut.

3.

PENDAHULUAN

Sebagai salah satu keperluan untuk bergraduat, saya telah menjalani latihan industri di Yayasan Sarawak selama empat minggu, bermula 24 Februari 2021 sehingga 24 Mac 2021. Faktor utama saya memilih Yayasan Sarawak sebagai tempat untuk saya menjalani latihan industri adalah kerana saya merasakan Yayasan Sarawak merupakan tempat yang sesuai untuk saya menimba ilmu berkaitan dengan bidang perundangan dan pematuhan.

Yayasan Sarawak merupakan salah satu organisasi yang terbesar di Sarawak dan saya pasti akan dapat menimba banyak pengalaman serta mendapatkan tunjuk ajar dan bimbingan melalui organisasi ini, khususnya di seksyen perundangan dan pematuhan yang bersesuaian dengan bidang yang saya ambil.

2

4.

OBJEKTIF LATIHAN INDUSTRI

Objektif latihan industri terbahagi kepada dua, iaitu objektif umum dan objektif khusus. Objektif umum latihan industri adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang alam pekerjaan supaya mereka dapat menimba pengalaman melalui tunjuk ajar dan bimbingan daripada pihak organisasi. Manakala objektif khusus latihan industri adalah untuk mengorientasikan pelajar kepada alam pekerjaan khususnya dalam bidang perundangan dan pematuhan. Selain itu, objektif latihan industri adalah untuk mendedahkan pelajar kepada pengalaman dan pengetahuan yang tidak boleh diperolehi dengan hanya berada di bilik kuliah. Pelajar juga akan diperkenalkan dan didedahkan tentang kepentingan dan cara-cara untuk merangka perjanjian dan kontrak untuk pihak-pihak yang berkenaan.

Objektif yang terakhir ialah selain daripada memahami dan mempelajari ilmu yang bersesuaian dengan bidang yang diambil pelajar, pelajar juga dapat membentuk ciri-ciri positif dalam diri seperti kemahiran berkomunikasi, berinovatif, kepimpinan serta keyakinan diri melalui suasana dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam organisasi.

3

5.

OBJEKTIF LAPORAN LATIHAN INDUSTRI

Objektif laporan ini disediakan kerana penulisan laporan adalah salah satu elemen penilaian yang penting daripada keseluruhan penilaian latihan industri. Melalui laporan industri ini, bukan sahaja penyelia dapat menilai segala bidang tugasan, aktiviti, serta peranan yang dimainkan oleh pelajar dalam organisasi yang mereka pilih untuk menjalani latihan industri malah organisasi tersebut turut beroleh faedah melalui cadangan penambahbaikan daripada pelajar yang menjalani latihan industri di organisasi tersebut. Oleh itu, pelajar dikehendaki untuk menyediakan laporan berdasarkan panduan kandungan yang telah diberikan oleh Fakulti serta laporan ini perlu dihantar kepada organisasi yang berkenaan pada minggu akhir sebelum tamat latihan industri.

6.

KEPENTINGAN

Latihan industri memberi banyak kepentingan kepada pelajar. Antaranya ialah latihan industri dapat mendedahkan pelajar lebih awal tentang dunia sebenar alam pekerjaan. Jikalau sebelum ini pelajar banyak mempelajari teori semasa di dalam kuliah, sekarang pelajar boleh mengaplikasikan dan mempraktikkan teori yang mereka belajar semasa menjalani latihan industri. Pelajar juga boleh menimba banyak pengalaman, kemahiran dan pengetahuan dalam perangkaan surat perjanjian dan kontrak, kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikir, kerjasama dan kepimpinan serta pengurusan projek-projek melalui tunjuk ajar dan bimbingan dari pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu melalui organisasi berkenaan. Selain itu, latihan industri berupaya melatih pelajar untuk menjadi seorang pekerja yang unggul dari segi personaliti dan penampilan diri sebagai contohnya.

4

7.

CADANGAN

Pada pendapat saya, sepanjang menjalani latihan industri di Seksyen Perundangan dan Pematuhan di Yayasan Sarawak, pelbagai pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya dapati dan pelajari terutamanya dari penyelia dan staf-staf seksyen tersebut. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa cadangan yang ingin saya kemukakan setelah sebulan saya menjalani latihan industri di organisasi ini.

Pertama sekali seperti yang kita sedia maklum, penggunaan teknologi sepanjang latihan industri seperti komputer dan internet sangat penting dan amatlah diperlukan untuk menyiapkan tugasan. Justeru, ianya amatlah dihargai sekiranya pihak Yayasan Sarawak boleh menyediakan kemudahan teknologi seperti komputer dan internet untuk pelajar praktikal meskipun masing-masing mempunyai komputer riba mereka sendiri. Di samping dapat meringankan beban para pelajar yang terpaksa menggunakan sambungan internet sendiri, ianya juga dapat membantu mengurangkan kerja staf-staf seksyen teknologi maklumat dan pengurusan sistem untuk membuat pemeriksaan atas setiap laptop yang digunakan oleh pelajar-pelajar yang menjalani latihan industri di sini.

Cadangan penambahbaikan saya yang seterusnya adalah ianya akan sangat memudahkan sekiranya pihak Yayasan Sarawak boleh menyediakan garis panduan tugasan secara umum untuk para pelajar yang menjalani latihan industri. Sebagai contoh, penetapan tugasan untuk setiap minggu. Lebih-lebih lagi pelajar praktikal yang menjalani latihan industri di seksyen perundangan dan pematuhan yang sangat memerlukan banyak tugasan untuk menimba pengetahuan dan pengalaman yang baru. Meskipun demikian, saya tidak boleh menafikan bahawa saya turut mendapat banyak ilmu pengetahuan yang boleh saya aplikasikan di masa akan datang.

5

8.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, saya amat bersetuju sepanjang menjalani Latihan Industri selama empat minggu ini, saya telah mendapat banyak pengalaman dan ilmu yang berguna. Secara tidak langsung, Latihan Industri yang telah saya jalani ini dapat meningkatkan minat dalam bidang perundangan dan memberi peluang kepada pelajar praktikal seperti saya sendiri untuk mendapat pendedahan mengenai skop bidang kerja selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Disini dapat saya simpulkan bahawa pembelajaran di dalam kuliah adalah tidak mencukupi tanpa praktikal yang perlu kita pelajari juga. Hal ini adalah kerana tidak semua teori itu dilaksanakan mengikut apa yang dipelajari di dunia pekerjaan.

Sepanjang menjalani Latihan Industri ini, saya banyak didedahkan kepada aspek perangkaan surat perjanjian dan kontrak antara dua pihak yang terlibat tamsilnya, surat perjanjian jual-beli. Saya mencuba untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman sepanjang berada di sini. Akhir sekali, saya berharap program Latihan Industri seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ia memberikan banyak kelebihan kepada para pelajar yang mana ia dilihat sebagai salah satu persediaan kepada para pelajar untuk menempuh alam pekerjaan selepas tamat belajar nanti.

6...


Similar Free PDFs