Hubungan etnik di Malaysia PDF

Title Hubungan etnik di Malaysia
Author Pavithran
Course Land General
Institution Universiti Kebangsaan Malaysia
Pages 7
File Size 144.3 KB
File Type PDF
Total Downloads 95
Total Views 1,028

Summary

Di Malaysia terdapat dua konsep yang berbeza iaitu konsep segregasi dan konsep integrasi. Segregasi merujuk kepada proses memisahkan atau mengasingkan individu atau kumpulan sosial tertentu dari individu atau kumpulan lain (Nurzaira Azreena Rahamat, 2012). Segregasi ini berlaku berdasarkan bangsa, a...


Description

Di Malaysia terdapat dua konsep yang berbeza iaitu konsep segregasi dan konsep integrasi. Segregasi merujuk kepada proses memisahkan atau mengasingkan individu atau kumpulan sosial tertentu dari individu atau kumpulan lain (Nurzaira Azreena Rahamat, 2012). Segregasi ini berlaku berdasarkan bangsa, agama, budaya, dan ciri-ciri perkauman yang lain. British telah mengamalkan dasar pecah dan perintah dan disebabkan ini konsep segregasi telah muncul di negara kita. Sebaliknya, integrasi merujuk kepada penyatuan kumpulan yang interaksi sosialnya tidak lagi dipengaruhi oleh identiti bangsa atau etnik (Nurzaira Azreena Rahamat, 2012). Dari segi konteks Malaysia, integrasi merupakan proses pembentukan identiti kebangsaan antara etnik dalam budaya, kaum, agama, masyarakat dan penyelesaian dan memupuk mereka melalui politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan integrasi wilayah (Ismail, Hassan & Zakaria, 2016). Sampai kini, kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai usaha dalam memupuk hubungan etnik di Malaysia. Salah satu peranan kerajaan yang telah diambil dalam usaha memupuk hubungan etnik di Malaysia adalah penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

JPNIN adalah agensi yang bertanggungjawab untuk memupuk dan mengekalkan perpaduan antara pelbagai kaum di negara kita (Baharuddin, 2012). Malaysia mempunyai rakyat berbilang etnik dengan latar belakang yang berbeza dari segi budaya, agama, bahasa dan adat. Walaupun kaum-kaum ini bekerjasama di bawah sistem politik yang sama pada

masa dahulu, kehidupan mereka masih terpisah. Terdapat juga kekurangan interaksi antara mereka, dan hubungan mereka terbatas pada hal-hal tertentu, terutama hal-hal yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi. Pembahagian tenaga kerja dalam sistem ekonomi pula berdasarkan sepenuhnya pada tempat tinggal dalam masyarakat dan setiap kaum mempunyai fungsi ekonominya sendiri. Berbanding dengan suasana di Tanah Melayu yang baru merdeka, JPNIN telah membuktikan bahawa keberkesanan kerajaan jauh lebih baik. Masyarakat pada zaman itu sesuai dengan ciri-ciri masyarakat majmuk yang dicirikan oleh Furnivall pada tahun 1948. Ianya merupakan impak daripada jajahan British yang melaksanakan dasar pecah dan perintah. Disebabkan ini, kerajaan Malaysia telah memfokuskan kepada isu perpaduan dan hubungan antara etnik, kerana ini adalah agenda nasional yang penting supaya kestabilan politik di negara kita sentiasa terpelihara dan terjamin. Sejak kermerdekaan, generasigenerasi kini masih mewarisi konsep masyarakat majmuk dan masih menghadapi masalah dan dilema disebabkan oleh isu segregasi. Secara tidak langsung, situasi ini menggambarkan konflik antara etnik yang disebabkan oleh perbezaan perspepsi antara kaum. Masyarakat di negara kita masih belum sepenuhnya menerima nilai dan konsep satu bangsa Malaysia dimana ia lebih menekankan kepada perpaduan masyarakat. Namun begitu, melalui tindakan pemerintah untuk menubuhkan JPNIN, pakatan tersebut telah secara efektif mempromosikan perpaduan antara Masyarakat berbilang etnik Malaysia yang mempunyai nilai. Keberkesanan penubuhan JPNIN oleh kerajaan menunjukkan bahawa generasi sekarang dapat mengekalkan keharmonian negara. Kerajaan juga telah memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai usaha untuk memupuk hubungan etnik di Malaysia. Pada zaman dulu, sistem pendidikan negara belum membentuk model yang khusus untuk membentuk masyarakat yang bertoleransi. Ini memungkinkan ibu bapa memilih aliran untuk anak mereka berdasarkan kaum masingmasing. Usaha-usaha yang efektif harus dilakukan untuk mendidik perpaduan sejak awal,

iaitu ketika anak-anak mengikuti kurikulum sejak di prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Selaras dengan ini, kerajaan telah memperkasakan sekolah kebangsaan untuk menanamkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agar mereka dapat menerima latihan untuk menjalani kehidupan secara bersama dan mempunyai semangat toleransi dan patriotisme yang tinggi. Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai usaha untuk meningkatkan prestasi sekolah kebangsaan yang dapat menyatupadukan rakyat berbilang etnik tanpa harus mengecualikan sekolah rendah jenis kebangsaan (SJK) seperti yang dipersetujui oleh semua bangsa dan kaum. Semua ibu bapa mempunyai kebebasan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah pilihan mereka. Sekolah kebangsaan merupakan institusi pendidikan yang utama dan penting bagi anak-anak untuk merealisasikan aspirasi mereka dan mempunyai ciri-ciri kebangsaan. Bukan sahaja sekolah kebangsaan dapat mendidik pelajar berbilang etnik, namun ia juga dapat membantu mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Memupuk perpaduan dan kepercayaan dalam sistem sekolah tunggal iaitu sekolah kebangsaan harus diuruskan terlebih dahulu, supaya semua kaum tertarik untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Oleh itu, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, kerajaan Malaysia telah meningkatkan kedua-dua kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah kebangsaan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mempertingkatkan kualiti pengajaran sebanyak 100 peratus guru di sekolah menengah dan 25 peratus guru di sekolah rendah yang mempunyai kelayakan ijazah pertama pada tahun 2012 supaya sekolah kebangsaan menjadi sekolah pilihan (Ahmad & Goolamally, 2008). Hal ini secara tidak langsung menunjukkan keberkesanan peranan kerajaan Malaysia dalam memupuk hubungan etnik. Pada pendapat saya, sistem ekonomi merupakan salah satu faktor yang penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat kita. Pada masa dulu, kebanyakkan masyarakat Melayu tinggal di kampung yang terdiri daripada petani, sementara orang Cina

mewarisi pekerjaan perniagaan keluarga selama beberapa generasi. Sebilangan besar mereka menetap di bandar-bandar. Masyarakat India pula menetap di estet-estet dan bekerja sebagai penoreh (Hamid et al, 2019). Pernyataan ini boleh disimpulkan bahawa terdapat jurang pendapatan yang besar dan ekonomi yang tidak seimbang pada zaman dulu. Disebabkan oleh ekonomi yang berbeza serta jurang pendapatan yang tidak seimbang, kurangnya perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. "Rancangan Malaysia Kedua" ada menyatakan bahawa tanpa masyarakat Malaysia yang majmuk perpaduan negara tidak boleh dicapai. Sekiranya sebahagian penduduk masih miskin dan peluang pekerjaan tidak mencukupi, ianya mustahil untuk memupuk perpaduan nasional. Oleh itu, Tun Abdul Razak pada tahun 1970 telah melancarkan dasar ekonomi baru yang bertujuan untuk menghilangkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di Malaysia. Permulaan dasar ekonomi ini juga bertujuan dalam memastikan taraf hidup masyarakat ditingkatkan untuk mencapai kemajuan pembangunan negara (Mahathir, 2004). Oleh itu, jurang perbezaan telah terhapus dalam fungsi ekonomi mengikut kaum. Hal ini kerana perpaduan sesama kaum telah lahir dalam kalangan rakyat yang meningkatkan lagi taraf pembangunan ekonomi negara. Seterusnya, sistem politik juga telah memainkan peranan signifikan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat kita. Pada 29 Januari 1970, Jawatankuasa Perundingan Nasional (MAPEN) ditubuhkan dalam membentuk garis panduan iaitu Rukun Negara untuk mewujudkan kerjasama antara kaum, memupuk identiti etnik dan membentuk ideologi nasional dalam kalangan rakyat Malaysia. Majlis ini terdiri daripada perwakilan semua sektor masyarakat yang membolehkan mereka mengadakan perbincangan secara berterus-terang (Faaland, 2005). Setelah peristiwa 13 Mei, puncak usaha kerajaan adalah pembentukan Rukun Negara yang berdasarkan kepercayaan, keyakinan dan komitmen yang bertujuan untuk membentuk identiti unggul Malaysia. Hal ini adalah untuk menyemai dan memupuk integrasi nasional dalam jiwa masyarakat Malaysia. Rukun Negara diharapkan

dapat membentuk jati diri rakyat sebagai satu bangsa Malaysia. Selain itu, Rukun Negara ini juga dijadikan sebagai panduan dan hala tuju untuk merancang rancangan pembangunan negara dan ia merupakan integrasi nasional dalam pembentukan bangsa Malaysia. Di sini kita dapat lihat bahawa sistem politik telah membawa banyak kebaikan yang telah mecipta pelbagai perlembangan yang dapat menerapkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan masyarakat negara kita. Selain itu, pada pendapat saya sistem pendidikan juga telah memainkan peranan yang cukup penting dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat kita. Hal ini dapat dibuktikan dengan kejayaan kerajaan kita dalam menjadikan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Bahasa Kebangsaan ini telah menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan digunakan secara seragam yang membantu dalam menghilangkan sebarang konflik dan seterusnya meningkatkan kefahaman sesuatu kaum tentang budaya kaum lain (Mior Jamaluddin, 2011). Sikap saling memahami ini akan dapat mewujudkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain dan seterusnya akan membantu dalam memupuk perpaduan kaum. Pendidikan secara pendemokrasian yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan juga telah memupuk perpaduan kaum. Hal ini dapat dilihat melalui pengagihan yang adil. Kita dapat melihatnya dari segi peluang dan kualiti yang diberikan kepada semua kaum untuk menikmati kemudahan pendidikan yang sama. Seterusnya, tanpa mengira jenis sekolah, walaupun sama ada ianya sekolah jenis kebangsaan atau sekolah kebangsaan, peralatan dan kemudahan yang disediakan untuk kesemua sekolah adalah seragam. Melalui kaedah ini, tidak ada sebarang perbezaan dari segi kemudahan di sekolahsekolah ini. Di samping itu, pelajar dari semua kaum tidak akan disekat memasuki manamana sekolah di negara kita. Ibu bapa mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sendiri mengikut kehendak mereka tanpa sebarang paksaan. Walaupun bahasa pengajaran di sekolahsekolah ini adalah berbeza, namun, kesemua silibus pengajaran, peperiksaan, buku teks dan

jadual waktu diselaraskan. Hak-hak budaya bangsa lain untuk belajar bahasa tersendiri masih dihormati dan dipelihara dengan betul. Konklusinya, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah mempunyai semangat perpaduan yang tinggi agar kita tidak berpecah-belah. Kita perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu sentiasa ingat bahawa di negara kita, masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa dan setiap kaum ini mempunyai identiti tersendiri. Semua lapisan masyarakat mesti memahami usaha untuk meraikan kepelbagaian yang ada untuk menjalin hubungan antara setiap etnik secara harmoni. Kerajaan juga perlu sentiasa menjalankan tugas mereka untuk meningkatkan perpaduan rakyat kita agar negara kita sentiasa aman dan damai. Penyertaan badan-badan bukan kerajaan serta pihak swasta juga dapat mengeratkan hubungan dan juga dapat memupuk semangat perpaduan.

RUJUKAN

Ahmad, J., & Goolamally, N. (2008). Pentadbiran dan pengurusan sistem pendidikan Malaysia ke arah pendidikan berkualiti.

Baharuddin, S. A. (2012). Modul hubungan etnik. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Faaland, J. (2005). Dasar ekonomi baru: Pertumbuhan negara dan pencapaian ekonomi orang Melayu. Utusan Publications.

Hamid, S. A., Rahman, M. N. A., Mohamed, S. S. B. P., Mahmad, M. A., Yassin, K. M., Abdullah, S., & Abd Matalib, M. F. (2019). Hubungan Etnik (UUM Press). UUM Press.

Ismail, H., Hassan, K., & Zakaria, M. N. (2016). Kesederhanaan ke arah perpaduan kaum di Malaysia. Journal of Techno Social, 8(2)

Mahathir, M. (2004). Dasar ekonomi baru: intipati. Utusan Publications.

Mior Jamaluddin, M. K. A. (2011). Sistem pendidikan di Malaysia: Dasar, cabaran, dan pelaksanaan ke arah perpaduan nasional. Sosiohumanika, 4(1).

Rahamat, N. A. B. (2012). Kesan Proses Integrasi Dan Segregasi Ke Atas Konsep Kendiri....


Similar Free PDFs