Pengenalan etika dan peradaban PDF

Title Pengenalan etika dan peradaban
Author sonchaeryujin
Course Values and Civilization
Institution Universiti Teknologi MARA
Pages 6
File Size 85.2 KB
File Type PDF
Total Downloads 329
Total Views 444

Summary

Bab 1: PENGENALAN ETIKA DAN PERADABANOleh: Nik Muniyati Nik Din & Rogayah Mohd Zain1 DEFINISI ETIKAPerkataan etika berasal daripada perkataan Greek iaitu ethos yang merujuk kepada “perlakuan seseorang”. Menurut Garner (1986) etika atau ethic merupakan perkataan bahasa Inggeris yang berasal darip...


Description

Bab 1: PENGENALAN ETIKA DAN PERADABAN Oleh: Nik Muniyati Nik Din & Rogayah Mohd Zain

1.1 DEFINISI ETIKA Perkataan etika berasal daripada perkataan Greek iaitu ethos yang merujuk kepada “perlakuan seseorang”. Menurut Garner (1986) etika atau ethic merupakan perkataan bahasa Inggeris yang berasal daripada bahasa Greek iaitu ‘ethikos’ iaitu moral dan ‘ethos’ yang membawa makna sikap atau adat. Etika ertinya satu disiplin atau peraturan yang menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu baik atau buruk. Etika adalah satu disiplin yang akan dapat memberi maklumat kepada kita apakah sistem moral yang diamalkan oleh satusatu kelompok manusia tertentu. Saravanan (2018) mendefinisikan etika sebagai satu set peraturan yang berkait rapat dengan nilai-nilai moral serta norma (kebiasaan) sesuatu masyarakat. Mohd Nasir (1992) mengatakan etika terbahagi dua iaitu Etika Deskriptif dan Etika Normatif. Etika Deskriptif akan menyedarkan kita bahawa di dunia ini terdapat berbagai-bagai sistem moral yang relative (tidak sama). Contohnya Etika Hindu, Etika Kristian, Etika Buddha, Etika Yahudi, Etika Islam dan Etika Barat. Etika Deskriptif menyatukan apakah bentuk atau karekter sebenar satu-satu sistem moral yang ada dewasa ini. Etika Normatif akan menilai, mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem moral yang ada. Ia menyedarkan kita bahawa nilai- nilai moral tidak semuanya berubah mengikut perubahan budaya manusia tetapi ada juga nilai- nilai moral yang tetap dan tidak berubah. Mohamad Mohsin & Hamdzun (2002) mengatakan terdapat dua perkara asas yang menjadi tumpuan dalam etika ialah akhlak individu seperti takrifan individu yang baik dan peraturanperaturan sosial seperti peraturan mengenai benar atau salah (moraliti) yang menghadkan tingkah laku individu. Perspektif islam memandang etika sebagai akhlak yang berdasarkan al- Quran dan Sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad ‫ﷺ‬ Menurut Abdul Fatah Hassan (2001) pula, etika membawa maksud menyelidik, memikirkan dan mempertimbangkan mengenai yang baik dan yang buruk. Etika melihat secara universal perbuatan manusia. Definisi etika ini agak umum dan meluas yang memandang banyak aspek sebelum dinilai sebagai etika yang baik atau sebaliknya. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, etika merujuk kepada dua makna, iaitu: “Etika ialah ilmu yang berkaitan dengan prinsip-prinsip akhlak atau moral” atau “Prinsip moral atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Malah, ia juga melibatkan tanggungjawab dan akibat tingkahlaku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Contohnya Etika Perkhidmatan Awam yang melibatkan kakitangan awam (Mohd Tap et, al. 1991). Menurut Dr. H. Hamzah (1991) etika ialah ilmu yang menyelidiki mana yang baik dan mana yang buruk dengan memperhatikan amal perbuatan manusia yang diukur berdasarkan alQuran dan Sunnah dan bukannya diukur oleh akal semata sahaja. Definisi ini berbeza dengan definisi yang diperkenalkan oleh perspektif barat. Dari pelbagai definisi yang telah disebutkan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa etika pada dasarnya adalah suatu cabang dari ilmu falsafah yang membuat penyelidikan tentang moral 1

dan tingkah laku manusia dari segi tindakan baik dan buruk yang seharusnya diketahui, dan yang sepatutnya diamalkan dalam kehidupan, sama ada dari sudut individu, masyarakat dan Negara. Dari kaca mata agama Islam, etika adalah akhlak yang ditentukan dari hati, sekiranya seseorang insan itu memiliki hati yang baik, maka etika dan akhlak yang ditonjolkan adalah yang terpuji dan begitulah sebaliknya. 1.2 HUBUNGAN ETIKA DAN AGAMA Etika sebagai suatu ilmu yang membincangkan apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak harus dilakukan oleh seseorang manusia merupakan garis panduan ke arah mengenal pasti tingkah laku baik buruk. Merujuk kepada asas yang demikian, maka etika adalah suatu ilmu yang tidak bertentangan dengan agama, malahan semua agama yang wujud di dunia ini mengajak kepada perilaku mahupun moral yang baik dan etika adalah satu falsafah yang selari dengan tuntutan agama (al-Ghazali, 1985). Dari segi sejarah, nilai dan sistem etika dikaitkan dengan kepercayaan agama, misalnya Judeo Kristian sangat berpengaruh dalam kalangan masyarakat Barat (Eropah, Amerika dll.), Islam di Timur Tengah dan Asia, Confucianisme di Cina, Buddha dan Hindu di beberapa negara Asia tertentu. Amalan untuk beretika dikaitkan dengan soal keimanan dan ketuhanan, bertambah kuat lagi dengan adanya konsep dosa dan pahala, syurga dan neraka serta kepercayaan tentang kehidupan selepas mati (Mohd Janib Johari, 2001). K. Bertens (2003) dalam kajiannya mengenai etika menjelaskan bahawa agama mempunyai hubungan yang erat dengan moral. Setiap agama mengandungi suatu ajaran moral yang dapat dipelajari secara kritis, metodis dan sistematis yang disebut sebagai teologi moral. Menurutnya lagi, teologi adalah refleksi kritis, metodik dan sistematik yang dilakukan oleh penganut agama tentang agamanya sendiri. Contohnya disebut “etika Islam’, “etika Kristian', 'etika Buddha' dan sebagainya yang disebut sebagai teologi moral. Malah, K. Bertens juga menyarankan agar etika perlu terus dijalankan agar masalah pluralism ini boleh diminimumkan seterusnya mewujudkan etika yang universal. Namun, para pemikir dan tokoh-tokoh falsafah Barat, mereka menolak peranan agama ataupun perkara-perkara yang berkaitan dengan kepercayaan agama dalam membentuk nilai- nilai etika ada yang menganggap agama sebagai penghalang kebebasan manusia (Karl Marx, 1818-1883) (The Encyclopedia of Religion, 1987). Adapun kita yang beragama Islam yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup seharian sangat menitikberatkan etika serta akhlak dalam kehidupan seharian samada yang melibatkan hubungan dengan pencipta, hubungan sesama manusia, mahupun hubungan dengan makhluk lain. Hal ini disokong Abu A’la al-Mawdudi (1996) dalam bukunya Ethical Viewpoints of Islam yang mengatakan bahawa kewujudan nilai-nilai agama yang dipegang dan dihayati oleh seseorang individu atau masyarakat dalam tindakan seharian mereka berbeza antara etika dan moral yang diamalkan orang islam dengan etika dan moral golongan secular. Moral dan etika sekular adalah berdasarkan kepada kepelbagaian pemikiran dan perspektif manusia, adapun moral dan etika dalam Islam ialah akhlak yang dibimbing dan yang mendapat petunjuk daripada al-Quran dan Sunnah. Menurut Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, etika dan akhlak yang ditonjolkan adalah lambang keperibadian dan kesucian hati seseorang. Oleh yang demikian pembentukan hati adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam melahirkan insan yang beretika, berakhlak dan berbudi tinggi.

1.3 ALIRAN ETIKA Endang Saifuddin Anshari (1982) menyatakan etika terbahagi kepada enam aliran iaitu: pertama aliran etika naturalisme iaitu aliran yang beranggapan bahawa kebahagiaan manusia itu diperolehi dengan menurut panggilan fitrah kejadian manusia sendiri. Kedua, aliran etika hedonism iaitu aliran yang berpendapat bahawa perbuatan yang baik ialah yang menimbulkan hedone (kenikmatan dan kelazatan). Ketiga, aliran etika utilitarianisme iaitu aliran yang menilai baik dan buruknya perbuatan manusia berdasarkan kecil atau besarnya manfaat yang diperolehi. Keempat, aliran etika idealisme ialah aliran yang berpendirian bahawa perbuatan manusia janganlah terikat pada sebab musabab lahir tetapi haruslah berdasarkan prinsip kerohanian (idea) yang lebih tinggi. Contohnya orang yang berbuat baik bukan kerana untuk dipuji tetapi atas kemahuan sendiri. Kelima, aliran etika vetalisme ialah aliran yang menilai baik buruknya perbuatan manusia itu sebagai ukuran ada atau tidak adanya daya hidup (vital) yang maksimum mengendalikan perbuatan itu. Yang dianggap baik oleh aliran ini ialah orang yang berkuasa dan sanggup menjadikan dirinya ditaati oleh orang-orang yang lemah. Yang terakhir, aliran etika theologis ialah aliran yang berkeyakinan bahawa ukuran baik dan buruknya perbuatan manusia itu dinilai berdasarkan sesuai atau tidak dengan perintah. 1.4 DEFINISI PERADABAN Peradaban dari segi bahasa ialah berasal daripada perkataan ‘adab’ bererti seseorang individu yang mempunyai tingkah laku yang baik dan sesuai dengan persekitarannya. Peradaban dalam bahasa Inggeris ialah Civilization, ianya berasal dari perkataan latin bermaksud Bandar, Latin: Civitas bermaksud ‘kota’. Manakala dari segi Istilah pula bermaksud ketamadunan dan kehidupan yang maju dari pelbagai aspek. Para ilmuan mendefinisikan dengan pelbagai definisi antaranya menurut Ibn Khaldun peradaban didefinisikan dengan perkataan ‘Umran’ yang membawa maksud kawasan tanah atau rumah yang didiami atau diduduki orang dalam keadaan berkembang maju. Manakala, perkataan ‘Hadharah’ digunakan dalam abad ke 20, yang membawa sama makna dengan umran. Manakala menurut Mohamad Farid Wajdi peradaban didefinisikan dengan istilah Madaniyyah’ iaitu berkenaan dengan bandar atau kehidupan bandar. Bagi Jurji Zaidan pula: ‘Tamadun’ iaitu tahap perkembangan yang tinggi bercirikan bentuk negara dengan pentadbiran yang tersusun rapi, kehidupan bandar, sains, teknologi dan pendidikan yang mencapai perkembangan, arkitektur yang membina monumen dan bangunan besar dan aktiviti kesenian yang berkesan. 1.4.1 CIRI-CIRI PERADABAN 1. Rabbani (ketuhanan/keagamaan) yang berlandaskan nilai-nilai keagamaan dan ketuhanan. Sumber, matlamat dan tujuan kehidupan manusia adalah telah ditetapkan oleh Allah SWT. 2. Sejagat atau Universal 3. Sempurna (Syumul) – meliputi semua bidang kehidupan 4. Tetap dan anjal 5. Sepanjang zaman 6. Ideal dan realistik 7. Seimbang 8. Wasatiyah

1.4.2 MATLAMAT PERADABAN ISLAM 1. Menjaga hubungan manusia dengan Allah yakni mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya 2. Menjaga hubungan baik sesama manusia iaitu dengan membina hubungan tersebut dengan menghayati segala sifat terpuji dan menjauhi sifat tercela. 3. Menjaga hubungan antara makhluk dan alam iaitu meliputi hubungan haiwan, tumbuh- tumbuhan, cakerawala dan alam seluruhnya. 1.4.3 ASAS PERADABAN ISLAM 1. 2. 3. 4.

Aqidah Syariah Akhlak Ilmu

1.4.4 SUMBER PERADABAN ISLAM 1. 2. 3. 4.

Al-Quran As-Sunnah Ijtihad Tamadun asing

1.5 KESIMPULAN Daripada bab ini, dapat dismpulkan bahawa etika dan peradaban punya kaitan yang erat dan utuh dalam sesbuah kemajuan negara dan bangsa. Nilai etika yang berkait rapat dengan agama menjadi pemangkin kepada kemenjadian insan yang berbudi tinggi dan berdaya saing. Ketamadunan sesebuah bangsa juga bermula daripada tahap penghayatan dan pengamalan sesebuah bangsa mengamalkan etika dan akhlak yang terpuji dalam kehidupan seharian mereka serta meliputi semua bidang samada berkaitan urus niaga, pendidikan, sosial, politik dan keseluruhannya. Pengahayatan dan pengamalan etika yang tinggi akan meletakan sesebuah negara sebagai negara yang bertemadun dan penuh peradaban. Nilai-nilai yang terkandung dalam teori etika dimurnikan dengan perbincangan berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Sumber utama sebagai panduan hidup setiap insan yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islama akan menerima bahawa teori etika haruslah dikaitkan dengan agama yang dipegang masing- masing. Hal ini kerana, tanpa pegangan agama, tanpa ukuran dosa dan pahala, tanpa ganjaran syurga ataupun balasan neraka, manusia akan leka dan mengabaikan etika dan nilai murni dalam kehidupan seharian. Maka, dengan adanya hari pembalasan, ianya akan mendorong manusia yang beragama berlumba untuk melakukan kebaikan, berlumba untuk menjadi manusia yang beretika dan berakhlak mulia dalam kehidupan seharian mereka. Malahan, ciri-ciri peradaban Islam yang dibincangkan adalah ciri-ciri yang bersifat menyeluruh kepada semua bangsa tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Begitu juga dengan matlamat peradaban, yang meliputi hubungan manusia dengan penciptanya, hubungan sesame manusia dan hubungan manusia dengan alam sejagat termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan seluruh alam cakerawala yang meliputi langit dan bumi serta seisinya. Asas dan sumber peradaban Islam adalah perkara yang menjamin kesejahteraan dan peradaban sesebuah negara maju yang berdaya saing. Akhir kata, manusia dan agama ibarat

nyawa dikandung badan bahkan lebih dari itu, manusia tanpa agama ibarat jasad tanpa roh. Adapun ilmu tanpa amal seperti pokok tanpa buah ibarat kata Imam al-Ghazali gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal dan gersang hati tanpa iman. Oleh yang yang demikian ilmu, amal dan iman adalah perkara penting dalam diri setiap bangsa yang beretika dan bertamadun.

Aktiviti Pengukuhan 1. Apakah perbezaan etika dan akhlak? 2. Apakah peranan etika dalam pembentukan diri pelajar yang berdaya saing di peringkat global? 3. Jelaskan TIGA (3) aliran etika dengan terperinci? 4. Mengapakah pemikir barat menolak peranan agama sebagai pembentukan etika seseorang individu? 5. Mengapakah Islam menitikberatkan etika dalam kehidupan seharian sebagai pelajar? 6. Ciri-ciri peradaban Islam ialah sesuai sepanjang zaman, apakah yang dimaksudkan dengannya? 7. Apakah asas peradaban Islam yang tiada pada tamadun Barat? 8. Nyatakan perbezaan konsep peradaban Islam dan peradaban Barat. 9. Peradaban Islam turut menjadikan tamadun asing sebagai rujukan, apakah bentuk tamadun asing yang boleh diserapkan ke dalam tamadun Islam? 10. Apa yang kamu fahami mengenai masyarakat atau negara yang bertamadun?...


Similar Free PDFs