Tafsir as-sajdah - ANALISA DAN PENGAJARAN SURAH SAJDAH AYAT 1-30 PDF

Title Tafsir as-sajdah - ANALISA DAN PENGAJARAN SURAH SAJDAH AYAT 1-30
Course Islamic and Science
Institution Universiti Teknologi MARA
Pages 15
File Size 172.8 KB
File Type PDF
Total Downloads 435
Total Views 1,004

Summary

Tafsir Surah As-Sajdah Ayat 1- 30Tafsir Ringkas ayat 1-3 (Pengukuhan Al Quran dan Risalah Kenabian) Surah ini dibuka dengan huruf Alif, lam, mim. Pembukaan yang sama dengan kebanyakan surah-surah Makiyyah yang bertujuan menegaskan kemukjizatan al-Quran dan keagungannya. Pembukaan ini diikuti dengan ...


Description

Tafsir Surah As-Sajdah Ayat 1-30 Tafsir Ringkas ayat 1-3 (Pengukuhan Al Quran dan Risalah Kenabian) 1) Surah ini dibuka dengan huruf Alif, lam, mim. Pembukaan yang sama dengan kebanyakan surah-surah Makiyyah yang bertujuan menegaskan kemukjizatan al-Quran dan keagungannya. 2) Pembukaan ini diikuti dengan penegasan bahawa Al-Quran adalah kitab yang diturunkan dari sisi Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW tanpa dapat diragui langsung. Adapun yang ragu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja. Al-Qur’an ini bukan dari sesiapa melainkan dari Allah, Tuhan sekelian alam. 3) Namun demikian puak Musyrikin Mekah tetap juga mendakwa dengan propaganda dusta bahawa AlQur’an itu adalah hasil rekaan dan tulisan dari Nabi Muhammad sendiri atau cedokan dari kitab-kitab yang terdahulu. 4) Sekali lagi ditegaskan bahawa bahawa al-Quran adalah satu kebenaran yang datang daripada Allah SWT yang bertujuan untuk memberi ancaman kepada mereka yang tidak mahu menerima isi kandung AlQuran. Semoga dengan peringatan wahyu yang diberikan kepada mereka, mereka akan terpimpin dan kembali kepada Allah. Pengajaran ayat 1-3 1. Umat Islam mestilah bertanggungjawab menjaga dan mempertahankan kebenaran al-Quran. Menjadi satu tuntutan kepada kita untuk berusaha memahami dan mengamalkan apakah yang hendak disampaikan oleh Allah SWT melalui kitabNya dan bukanlah hanya membaca Al-Quran tanpa memahami. 2. Jangan terpedaya dengan gerakan dan usaha-usaha musuh-musuh Islam dan golongan liberal yang bertungkus lumus menjauhkan umat Islam dari al-Quran. Terlalu banyak tipudaya dan agenda mengelirukan yang menyebabkan umat Islam sendiri rasa takut dan beralasan untuk tidak menegakkan kebenaran al-Quran serta hukum hakam yang terkandung di dalamnya. Sedangkan kita mestilah meyakini bahawa semua isi kandungan Al-Quran itu sentiasa benar dan ia adalah sebagai sebaik-baik panduan hidup yang sesuai sepanjang zaman. 3. Teruskan usaha-usaha mentadabbur al-Quran serta memperbaiki adab-adab kita ketika berinteraksi dengan al-Quran. Ketika mana kita membaca al-Quran seharusnyalah kita menyedari bahawa Allah sedang memperingatkan kita dengan ancaman jika mengingkarinya supaya kita sentiasa terpandu dalam usaha mencari matlamat hidup dunia dan akhirat. 4. Raihlah hidayah Allah SWT dengan menyelami dasar al-Quran sebagai petunjuk yang membimbing kita berjalan menuju-Nya. Tafsir ringkas ayat 4 (Penciptaan Alam Semesta Bukti Ketauhidan) 1) Allah SWT memberitahu bahawa Dialah Yang menciptakan segala sesuatu, dan Dia menciptakan langit dan bumi serta semua yang ada di antara keduanya. Itulah alam semesta yang merupakan penciptaanNya yang maha hebat. Tiada kekurangan dan tiada yang tertinggal dari ciptaan-Nya itu. 2) Ayat ini juga menjelaskan tentang proses terjadinya alam semesta iaitu semuanya tercipta dalam enam hari, walaupun Dia berkuasa menciptakannya sekejap sahaja. Hikmahnya hanya Allah sahaja yang mengetahui, padahal Dia berkuasa untuk menciptakan dengan kalimat, “Kun” maka ia pun jadi.

Yang dimaksud dengan enam hari dalam ayat ini bukanlah hari (masa) yang dikenal seperti sekarang ini, tetapi adalah hari sebelum adanya langit dan bumi. Hari pada waktu sekarang ini adalah setelah adanya langit dan bumi serta telah adanya peredaran bumi dan matahari serta bergilirnya siang dan malam. 3) Kemudian yang lebih hebat dari itu adalah Dia bersemayam ( istiwa’ ) di atas ‘Arsy dengan cara yang layak bagi diri-Nya dan sesuai dengan kekuasaan dan kebesaran-Nya”. 4) Seterusnya ayat ini menegaskan bahawa tidak seorangpun yang dapat mengurus segala urusan-Nya, menolak bahaya, malapetaka dan siksa dan tidak seorang pun yang dapat memberi pertolongan dan syafaat ketika azab menimpanya, kecuali Allah semata-mata, kerana Dialah Yang Maha Kuasa menentukan segala sesuatu. 5) Di hujung ayat ini Allah SWT memperingatkan agar manusia dapat mengambil pelajaran dan memikirkan apa yang selalu dilihatnya itu, memandangkan masih ada lagi yang menyembah selain Allah SWT. Pengajaran ayat 4 1. Para pentadabbur haruslah menyedari bahawa tujuan Allah SWT menyebut qudrat-Nya yang telah mencipta alam ini, yang kita duduk di dalamnya, adalah supaya kita mentaatinya secara total. Jika kita tak mahu taat kepada-Nya, mengambil hukum lain selain dari-Nya dan suka bermaksiat, maka carilah alam lain untuk diduduki. 2. Buatlah perancangan jika kita hendak melakukan sesuatu yang penting. Kita kena ambil masa untuk berfikir sejenak agar lahir satu perancangan yang mantap. Lihatlah bagaimana Allah merancang sesuatu. Dia boleh sahaja mencipta alam ini dalam sekelip mata namun ditunjukkan kepada kita bagaimana Allah melakukannya dalam ‘enam masa’. Ini memberi isyarat kepada kita bahawa perancangan Allah maha tinggi dan penuh hikmah. 3. Sewajibnya kita menyakini bahawa Allah SWT sahaja yang menjadikan segala alam ini. Justeru itu hanya Dia sahaja yang boleh menolong dan melindungi kita. Kalau Allah tidak menolong kita, tidak menjadi pelindung kita, maka binasalah kita. Kerana tidak ada lagi yang dapat menolong kita. Maka berhati-hatilah dalam menjalani hidup ini. Dengan kata lain bertaqwalah! 3. Kita haruslah memahami bahawa surah Sajdah ini menolak pemahaman bahawa ada syafaat dari sesiapa selain Allah. Syafaat sebenarnya dari Allah. ‘Pemberi syafaat’ seperti Nabi Muhammad diberi penghormatan untuk ‘menyampaikan’ syafaat itu sahaja. Tapi keputusan si apakah yang akan mendapat syafaat itu hanyalah dari Allah SWT. 4. Janganlah kita mengharapkan redha dan pertolongan serta syafaat daripada entiti lain samada orangorang yang berkuasa atau pun lembaga-lembaga keduniaan semata-mata untuk mengejar habuan duniawi. Hendaklah kita merapatkan hubungan kita dengan Allah. Apabila kita rapat dengan Allah, barulah semakin cerah harapan kita untuk mendapat pertolongan dan kejayaan yang hakiki itu. Tafsir ringkas ayat 5-6 (Allah SWT Pentadbir Sekalian Alam) 1. Setelah terlaksana penciptaan langit dan bumi dengan segala isinya yang merupakan kerajaan Allah yang sempurna, maka Allah pun menjalankan urusan pemerintahan-Nya dan pentadbiran-Nya dari ‘Arasy, iaitu singgahsana-Nya, sebagai Raja segala kerajaan dan di situlah Allah membuat keputusan dan ketetapan-Nya. Kemudian segala keputusan dan ketetapan itu turun dari bahagian tertinggi tujuh lapis langit menuju titik terendah dari dasar lapisan bumi yang ke tujuh untuk dilaksanakan.

2. Kemudian urusan itu naik kembali kepada-Nya. Iaitu segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbir-Nya dinaikkan untuk dinilai dan dihakimi. Ia termasuk semua amal perbuatan yang telah direkodkan oleh para malaikat dalam buku catatan yang terletak di atas langit dunia. 3. Ayat ini menyebut bahawa urusan Allah yang telah dilaksanakan akan diangkat naik kepadaNya pada suatu masa iaitu ‘suatu hari’ – kerana perkataan ( ‫ ) َي ْوم‬bermaksud ‘sehari’. Ianya seperti satu laporan yang disampaikan kepada Allah SWT oleh para Malaikat. 4. Suatu hari yang dimaksudkan di sini bukanlah sehari seperti yang kita faham di dunia ini, tetapi َ َ َ ‫ان م ْقَد ُار ُه َأ ْل‬ sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat: ( ‫ف َس َنة‬ ِ ‫ ) ك‬iaitu yang kadar lamanya selama seribu tahun. Menurut Mujahid, Qatadah, dan Al-Dahhak mengatakan bahawa jarak yang ditempuh oleh malaikat yang turun ke bumi adalah 500 tahun. Begitu pula naiknya sama dengan perjalanan 500 tahun, tetapi malaikat dapat menempuhnya sekelip mata sahaja. 5. Ayat seterusnya menegaskan bahawa Tuhan yang menciptakan, mengatur dan mengurus langit dan bumi serta segala yang ada padanya itu, adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui. Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib, yang tersembunyi dalam hati, yang akan terjadi, yang telah terjadi, mengetahui segala yang dapat dilihat dan yang tidak dapat dilihat oleh mata. Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa, Maha kekal rahmat-Nya dan Dia pulalah Yang menciptakan seluruh makhluk dengan bentuk yang baik, serasi serta dengan faedah dan kegunaan yang hanya Dia saja yang mengetahuinya. 6. Semua yang tersebut pada ayat-ayat ini merupakan gambaran dari kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dalam pengurusanNya agar manusia mudah memahaminya. Namun akal manusia tidak mampu membayangkan pengurusan-Nya pada pemahaman yang sebenar. Oleh itu, kita hanya perlu beriman sahaja dengan apa yang disampaikan kepada kita. Pengajaran ayat 5-6 1. Bacalah ayat-ayat Allah dengan kefahaman yang mendalam bahawa segala sesuatu yang diciptakan Allah, ada faedahnya, tetapi banyak manusia yang tidak mahu memperhatikannya. Lihat sahaja pentadbiran manusia di bumi ini yang amat terbatas kerana manusia hanya mampu menilai gerak kerja pekerja-pekerja mereka berdasarkan pandangan mata mereka sahaja. Namun, Allah SWT dengan kebesaran kerajaan pentadbiran-Nya mampu menjadi saksi atas segala amal perbuatan hamba-hambaNya. 2. Ambillah pelajaran dari sebutan masa iaitu hari ( ‫ َ)ي ْوم‬yang disebut dalam ayat di atas. Ia adalah isyarat bahawa hari kita dan hari pada sisi Allah tidak sama. Maka, perkara yang mengambil seribu tahun untuk kita buat, malaikat boleh lakukan dalam masa sehari sahaja. Begitu cepatnya mereka menjalankan kerja. Maka, ini mengajar kita supaya jangan buang masa. Kita mesti melakukan kerja kita dengan sebaik mungkin. 3. Hitunglah hari-hari yang berlalu yang disebut sebagai muhasabah diri. Kita wajib menghisab diri kita sendiri sebelum dihisab oleh Allah. Apakah agaknya laporan yang malaikat bawa kepada Allah? Tentu kita malu kalau perbuatan kita hanya membuang masa dan melakukan dosa sahaja. Lakukan sesuatu yang terbaik untuk menghasilkan rekod yang baik untuk dibawa ke hadapan Allah SWT. 4. Dalam kita mentadbir kehidupan kita, perlulah kita sedar dan ingat bahawa ada perkara yang kita lakukan untuk dunia dan ada juga untuk akhirat. Jangan kita terlupa tentang akhirat kita. Itulah penghujung yang pasti kita akan sampai.

5. Sentiasalah beriman dengan perancangan Allah yang telah menciptakan kita. Semuanya telah dirancang oleh Allah. Tujuan kita hidup di dunia ini juga telah dirancang oleh Allah. Kita semua adalah dalam perancangan Allah. Semuanya tidak akan berlaku tanpa pengetahuan-Nya. Ini mengajar kita bagaimana merancang sesuatu perkara. Ada orang yang langsung tidak memikirkan apakah kesan daripada perbuatannya. Mereka ini tidak ada hala tujuan jelas dan tidak akan dapat mencapai apa-apa akhirnya malah hanya akan mendapat kerugian. Tafsir ringkas ayat 7-9 (Bukti Kasih Sayang dalam Penciptaan Manusia) 1. Allah SWT menciptakan segala sesuatu (termasuk langit, bumi & manusia) dengan sebaik-baiknya dan serapi-rapinya. 2. Dia juga memulakan penciptaan manusia (Nabi Adam) daripada tanah. 3. Seterusnya Allah menjadikan manusia berkembang biak melalui nutfah (air mani) yang dipandang hina. Ada yang menafsirkan mahiin sebagai air yang lemah. 4. Ketika Allah mencipta Nabi Adam daripada tanah, Dia menciptakannya dengan ciptaan yang sempurna lagi utuh. 5. Allah kemudiaannya meniupkan roh ke dalam tubuh ciptaannya iaitu manusia dan memberinya deria pendengaran, penglihatan serta hati iaitu akal. 6. Ketiga-tiga pemberian ini adalah tanda kasih sayang Allah yang sepatutnya disyukuri namun hanya sedikit sahaja yang bersyukur kepada-Nya. 7. Orang-orang yang berbahagia ialah orang yang menggunakan pendengaran, penglihatan & hati untuk ketaatan kepada Allah. Pengajaran ayat 7-9 1. Hakikat yang wajib disedari oleh kita ialah bahawa asal kejadian manusia adalah sebaik-baik penciptaan yang Allah kurniakan pada alam ini. Apa-apa yang dilihat kurang @ tidak baik pada pandangan mata kita sebagai manusia hanyalah kerana kita tidak mengetahui hikmah di sebaliknya. Bersyukurlah apa adanya pada diri kita. 2. Janganlah kita angkuh dengan keturunan, pangkat dan lain-lain kerana asal keturunan setiap manusia (selain Adam) semuanya sama, iaitu daripada air mani yang mahiin (hina, lemah). 3. Allah menjadikan pendengaran & penglihatan untuk kita menghubungkan diri kita dengan alam sekeliling. Bawalah hasil keduanya ke dalam hati kita supaya menginsafi kebesaran dan kebenaran Allah. 4. Gunakanlah pendengaran, penglihatan & hati (akal) kita untuk bersyukur kepada Allah dengan cara mentaati-Nya, nescaya kita akan berbahagia. 5. Apabila Allah menyebut hati, bermakna kita berkewajipan menghidupkannya. Hati inilah yang akan dibawa semula bertemu dengannya. Mana milik kita? Kalau Allah tidak memberikannya kepada kita, kita tidak punya apa-apa. Tafsir ringkas ayat 10-11 (Kedegilan Para Musyrikin Menerima Hari Kebangkitan) 1. Ayat ini terus menceritakan sikap orang-orang musyrik. Sebelum ini mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad, kemudian mereka menolak konsep tauhid dan sekarang disebut tentang penolakan mereka tentang kebangkitan semula. Mereka mengingkari kewujudan hari kiamat iaitu hari semua yang bernyawa dibangkitkan di hadapan Allah untuk diadili.

2. Pelbagai alasan yang orang-orang Musyrik kemukakan. Mereka berpendapat adalah mustahil seseorang dapat hidup kembali setelah tubuhnya hancur menjadi tanah. Demikianlah betapa tertutupnya pemikiran dan hati mereka sehingga mereka tidak dapat menggambarkan kekuasaan Allah SWT dan membandingkan kemampuan Allah dengan kemampuan diri mereka yang lemah. Jika mereka ingin melihat kebenaran, mereka dapat mencari bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran Allah pada kejadian makhluk ini, di mana Allah berkuasa mewujudkan mereka sebelum mereka ada. 3. Sebenarnya jika mereka mahu berfikir tentu mereka dapat simpulkan bahawa segala sesuatu itu adalah sama mudahnya bagi Allah SWT; tidak ada yang sukar bagi-Nya. Mereka sebenarnya bukan hanya menidakkan kehidupan semula tetapi mereka juga hendak menidakkan pertemuan dengan Allah. Kenapa mereka tidak mahu terima? Kerana mereka tak mahu dibicarakan di hadapan Tuhan nanti. Mereka tahu mereka telah banyak melakukan kesalahan. Mereka takut nanti mereka akan dipersoalkan. Maka, mereka tolak pertemuan dengan Tuhan. Bahkan hakikatnya, kekufuran mereka terhadap pertemuan dengan Allah SWT menjadi penghalang dan penyebab utama keraguan mereka terhadap perkara yang jelas ini. 4. Ayat seterusnya memerintahkan nabi Muhammad SAW agar menegaskan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan bertemu dengan malaikat maut yang ditugaskan untuk mencabut nyawa. Kemudian, mereka akan dipulangkan kepada Allah SWT untuk dihisab seluruh amal perbuatannya. Pengajaran ayat 10-11 1. Janganlah kita mengaku beriman dengan hari kebangkitan tapi pada masa yang sama kita melakukan maksiat dan engkar daripada mengikut lunas-lunas agama. Ini membayangkan seolah-olah kita tidak percaya dengan pertemuan kita dengan Allah. Apabila kita bermaksiat seolah-olah kita tidak ingat mati dan tidak percaya bahawa perbuatan kita akan dihisab selepas kematian kita. Hakikatnya, semua yang bernyawa pasti akan menemui ajal masing-masing mengikut waktu yang telah ditentukan dan akan dibangkitkan untuk diadili. Orang yang tidak mempercayai kehidupan di akhirat adalah mereka yang ditutupi hati dan akalnya oleh nafsu mereka. 2. Berhati-hatilah dalam berkata-kata ketika berada di hadapan ketentuan dan hukum Allah SWT. Berapa ramai yang bila disampaikan kepadanya ajaran wahyu terutamanya perintah dan hukum Allah mereka menolaknya dengan akal dan lojik mereka dan mencipta pelbagai alasan. Ketika al-Quran mendedahkan kata-kata orang musyrikin Mekah sebenarnya adalah untuk kita fikirkan bahawa sikap seperti ini juga sentiasa timbul di sepanjang zaman. Mereka ini pandai bermain kata-kata; hakikatnya mereka menzahirkan sejauh mana iman mereka terhadap wahyu Allah SWT. 3. Kematian itu akan tiba tepat pada waktunya, tidak tercepat atau terlambat. Justeru itu, kita seharusnya menyediakan bekalan yang baik untuk bertemu dengan Allah SWT kerana itulah penentu pengakhiran hidup kita samada di syurga atau neraka. 4. Didiklah hati kita untuk sentiasa mengingati mati kerana orang yang sentiasa mengingati mati tergolong dalam kalangan orang yang bijak dan bakal memperoleh kehormatan di dunia dan akhirat. Bila sampai masanya, kita tidak boleh meminta penangguhan lagi. Janganlah hendaknya nyawa kita diambil dalam keadaan kita berdosa. Lebih-lebih lagi kalau kita sedang melakukan syirik tapi kita tidak tahu pun kita melakukan perkara syirik. Oleh itu, sebelum tidur, mintalah ampun atas segala dosa yang kita telah lakukan, samada sedar atau tidak. 5. Janganlah kita menjadi seperti orang musyrik dan membiarkan diri kita hanyut dengan keseronokan dunia semata sehingga kita terlupa kepada hari kebangkitan (pengakhiran yang abadi).

6 . Sentiasalah memperhatikan setiap perbuatan kita kerana sesungguhnya setiap amalan meskipun sekecil-kecil zarah pasti akan dihisab. Tafsir ringkas ayat 12-14 (Pengukuhan Terhadap Kepastian Hari Kebangkitan dan Gambaran Azab) 1. Ayat ke-12 membayangkan suasana di hari akhirat; jika kita dapat melihatnya sekarang sudah pasti kita tidak akan sombong dengan Tuhan. Suasana tersebut menggambarkan keadaan orang-orang yang ingkar, mereka tertunduk hina dan malu setelah menghadapi sendiri peristiwa hari akhirat yang sering mereka bantah atau perolokkan ketika di dunia dahulu. Mereka lantas memohon agar dihidupkan semula ke dunia, untuk beramal kerana kini mereka sudah yakin. 2. Tiada gunanya lagi penyesalan itu kerana waktunya sudah terlewat. Bagi Allah, Dia boleh saja memberi hidayah kepada setiap hamba-Nya semasa masih hidup di dunia agar mereka semua menurut segala perintah-Nya. Tetapi Allah menjadikan manusia untuk menguji keimanan dan ketaatan mereka kepadaNya. Mereka diberi nafsu dan dibekalkan dengan akal serta dipandu dengan petunjuk dan peringatan dalam menjalani kehidupan. Atas pilihan mereka sendirilah sama ada mahu taat ataupun ingkar. Maka Allah telah menetapkan bahawa Dia akan memenuhkan neraka dengan jin dan manusia yang tidak mahu tunduk patuh kepada-Nya. 3. Manusia yang hidup hanya mengikut nafsu sengaja melupakan hari pertemuan dengan Allah sedangkan mereka sudah sering diingatkan. Kelak, mereka pula akan dibiarkan dan dilupakan oleh Allah ketika menghadapi kesusahan dan azab sebagaimana yang dijanjikan. Pengajaran ayat 12-14 1. Kita mesti sedar hidup di dunia ini adalah penerusan dari hidup di alam rahim dan sebelumnya. Tidak akan berlaku peristiwa kita kembali ke alam rahim semula. Begitulah, kita tidak akan kembali ke dunia setelah tiba di alam akhirat kerana alam dunia telah tiada. Oleh itu kita mesti berfikir dan berusaha untuk hidup dengan sebaiknya, sebagaimana yang Allah kehendaki. 2. Terlalu banyak peluang dan petunjuk yang kita perolehi untuk kembali bertaubat dan membetulkan kesalahan. Begitu juga peluang dan petunjuk untuk beramal. Namun, peluang-peluang itu sering kita abaikan. Marilah kita berusaha dengan bersungguh (mujahadah) dan berdoa agar ditetapkan hati untuk meninggalkan maksiat dan lagha serta istiqamah melakukan amal soleh. 3. Kita mesti kembali kepada kehidupan bertuhan, mengajak kepada Islam, menegah kejahatan dan berusaha menjadikan Islam sebagai cara hidup untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Nescaya kita akan selamat di akhirat. 4. Jangan biarkan hidayah berlalu dalam hidup ini tanpa kita hargai dan jadikan pegangan dalam memandu aqal kita. Aqal adalah kurniaan Allah yang sangat hebat apabila kita menjadikan hidayah sebagai landasan dalam berfikir. 5. Berdoalah agar di dunia lagi Allah segera mengurniakan kita sebuah penyesalan agar kita dapat bertaubat dan perbaiki amalan. Mati hanya sekali, tetapi kehidupan itulah yang kita tempuhi dua kali iaitu sekali lagi selepas kematian. Ketika itu penyesalan sudah tidak berguna.

Tafsir ringkas ayat 15-16 (Akhlak Orang-Orang Mukmin di Dunia) 1. Setelah digambarkan golongan yang berdosa yang menerima azab dan penyesalan pada ayat yang lalu, seterusnya dipaparkan pula sifat dan akhlak golongan yang beriman dengan ayat- ayat Allah. Merekalah mukmin sejati yang berbeza benar dengan golongan orang yang jahil dan derhaka. 2. Ciri-ciri yang ada pada golongan yang beriman dengan ayat-ayat Allah ialah mereka menerima apa sahaja yang terkandung dalam al-Quran, yang berupa hukum hakam, perintah dan peringatan: i. Dengan penuh ketaatan dan ketundukan ii. Dengan bertasbih mensucikan Allah dan memuji-muji-Nya iii. Dengan penuh tawadhuk, rendah hati dan tidak menyombong diri 2. Amalan mereka adalah: i. Sentiasa bangun malam berqiyamullail, mengerjakan solat-solat sunat dan kurang tidur semata-mata untuk bangkit beribadah pada-Nya di malam hari serta memperbanyak doa dan munajat di hadapan Allah. ii. Sentiasa mengeluarkan harta dengan bersedekah dan berkongsi kesenangan dengan orang lain. 3. Inila...


Similar Free PDFs